MIC Kini Parti Komponen Kedua Dominan Dalam Kabinet

Diterbitkan: Rabu, 15 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Dr S. Subramaniam
Dr S. Subramaniam

PETALING JAYA: Kabinet Persekutuan pada penggal ini menyaksikan MIC menjadi parti komponen kedua yang dominan selepas Barisan Nasional (BN).

Keadaan ini berlaku apabila tiada seorang pun wakil MCA yang disenaraikan dalam Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pada Rabu.

Dalam Kabinet penggal 2013-2018, seramai empat wakil MIC disenaraikan untuk memegang jawatan menteri dan timbalan menteri.

Mereka ialah Datuk Dr. S Subramaniam (Menteri Kesihatan), Datuk G.Palanivel (Menteri Sumber Asli & Alam Sekitar), P.Kamalanathan (Timbalan Menteri Pelajaran & Pengajian Tinggi) dan Datuk M.Saravanan (Timbalan Menteri Belia & Sukan).

Sementara itu, pemimpin Hindraf (Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu) Waytha Moorthy Ponnusamy pula dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Mnteri (Senator).

Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Pulau Pinang Datuk Loga Bala Mohan, yang akan dilantik sebagai Senator, dipilih sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.

Ini bermakna, kerajaan pada kali ini menampilkan enam wakil India, dua menteri dan empat timbalan menteri.

Dalam pada itu, Najib berkata kerajaan telah memperuntukkan satu jawatan Kabinet kepada MCA iaitu Menteri Pengangkutan untuk dipertimbangkan oleh parti komponen BN itu.

Buat masa ini jawatan Menteri Pengangkutan dipangku oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga diumumkan sebagai Menteri Pertahanan.

Pada pilihan raya umum ke-13, hanya empat ahli politik MIC memenangi kerusi Parlimen daripada sembilan kerusi yang diperuntukkan kepada parti itu.

Mereka ialah Palanivel (Cameron Highlands), Dr Subramaniam (Segamat), Naib Presiden Datuk M.Saravanan (Tapah) dan Penyelaras Nasional bagi pergerakan Putera, P.Kamalanathan (Hulu Selangor).

Pada tahun 2008, Najib telah melantik seorang menteri dan dua timbalan menteri untuk Kabinetnya, dan tiga tahun kemudian, Najib melantik Palanivel sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi menerajui pembangunan kaum India.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan