"Bukan Visi Saya Yang Penting Tapi Visi Rakyat" - MB Johor

Diterbitkan: Selasa, 14 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Khaled di pejabat rasmi Menteri Besar di Kota Iskandar, Nusajaya, Johor, Selasa. -foto THE STAR/Abdul Rahman Embong
Khaled di pejabat rasmi Menteri Besar di Kota Iskandar, Nusajaya, Johor, Selasa. -foto THE STAR/Abdul Rahman Embong

NUSAJAYA: "Bukan untuk memenuhi visi saya tetapi tentang visi rakyat," itulah jawapan Menteri Besar Johor yang baru, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Selasa ketika ditanya apakah visinya untuk negeri Johor.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis upacara penyerahan tugas secara rasmi antara bekas Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dengan Khaled di sini petang ini, Khaled menegaskan apa yang beliau inginkan tidak penting tetapi yang penting ialah bagaimanakah hendak memenuhi apa yang rakyat hendak.

"Kita akan teliti isu-isu yang dibangkitkan dan kita akan tentukan dasar-dasar yang sesuai dan mampu kita laksanakan.

"Yang penting setiap program pembangunan itu mestilah pro-rakyat...rakyat perlu merasakan pembangunan yang bakal kita laksanakan adalah untuk mereka," ujar Khaled lagi.

Sebelum itu di sebelah pagi beliau dan sembilan anggota exco yang baru mengangkat sumpah jawatan dan taat setia di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar di Bukit Timbalan.

Turut dilantik ialah wakil MCA, Datuk Tee Siew Kiong. Masih terdapat satu lagi jawatan anggota exco yang masih belum dilantik.

Ia akan diisi pada satu masa yang sesuai nanti.

Dalam pada itu Khaled turut merakamkan ingatan terima kasih kepada rakyat dan para pengundi kerana telah memberikan mandat dua pertiga kepada Barisan Nasional di Johor.

"Kita tidak akan mempersia-siakan mandat tersebut dan tidak akan menyisihkan mana-mana kaum walaupun kita sedar trend pengundian dalam pilihan raya baru-baru ini telah berubah," katanya lagi.

Apa yang penting kata Khaled ialah, setiap kaum di negeri ini perlu bergerak seiring sebagai rakan untuk sama-sama memajukan Johor dan bukan rakan yang merosakkan.

Atas dasar dan semangat inilah tegas Khaled mengapa Tuanku Sultan Johor mahukan seorang wakil kaum Cina disenaraikan dalam barisan exco walaupun MCA bertegas untuk berpegang teguh kepada resolusi perhimpunan agung mereka yang tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan sama ada di peringkat pusat mahupun negeri jika prestasi mereka jauh lebih teruk dari tahun 2008.

Ditanya apakah wakil daripada MCA yang dilantik sebagai exco itu akan terus menyandang jawatan berkenaan sekiranya beliau dikenakan tindakan disiplin atau dipecat oleh partinya ekoran pelantikan itu, Khaled menjawab pelantikan itu adalah merujuk kepada titah Tuanku Sultan.

"Tuanku Sultan sendiri mahukan masyarakat Cina terus diwakili di dalam pentadbiran kerajaan negeri. Dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Tee kerana patuh dengan perintah Sultan.

"Soal apa tindakan seterusnya itu terserahlah kepada MCA...saya percaya semua orang Johor perlu memahami apakah itu permaufakatan Johor," kata Khaled lagi.

Ditanya tentang soal pengagihan pembangunan, Khaled menegaskan walaupun Iskandar masih memerlukan tumpuan khusus tetapi beliau memberi jaminan bahawa kerajaan pimpinannya tidak akan mengabaikan pembangunan di kawasan-kawasan lain.

"Soal pengagihan pembangunan adalah sangat penting dan ditekankan dalam manifesto negeri. Pengagihan akan dilakukan secara inklusif dan tiada pihak yang harus merasa tercicir.

"Adalah penting untuk kita menentukan wujudnya penyertaan secara kolektif dan penyatuan secara konstruktif dalam proses membangunkan negeri," jelas Khaled lagi.

Menurut beliau, yang penting ialah untuk melihat kepada dasar-dasar yang berkesan dan menjurus kearah membantu rakyat.

Kepada satu soalan lain, Khaled menjelaskan bahawa beliau memberi kebebasan kepada setiap anggota exconya bercakap dan menyatakan pandangan mereka berhubung potfolio yang mereka terajui.

"Pada akhirnya saya sebagai ketua eksekutif masih perlu bertanggungjawab ke atas apa juga keputusan dan tindakan yang bakal diambil oleh kerajaan pimpinan saya," kata bekas menteri pengajian tinggi itu.

Ditanya bilakah barisan exco yang baru akan bersidang, Khaled menjawab; "Esok..."

"Kerajaan negeri yang baru akan memulakan tugas mereka esok dan kita akan terus bekerja dan bukan membuang masa dengan berdemo kerana apa yang penting ialah untuk tidak membazirkan manfat yang diberikan oleh rakyat," kata Khaled.

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan