Perhimpunan Hitam Di JB Rabu Ini Haram - Polis

Diterbitkan: Isnin, 13 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Polis Johor menyifatkan Perhimpunan Hitam anjuran parti pembangkang yang dijadualkan di sini Rabu ini sebagai haram kerana tidak menepati syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ketua Polis Johor, DCP Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, notis awal yang diberikan pihak penganjur perhimpunan tersebut adalah kurang daripada 10 hari, iaitu tempoh ditetapkan oleh akta itu.

Beliau berkata: "Sabtu lalu, memang ada wakil pihak penganjur datang ke balai polis untuk memohon permit bagi mengadakan perhimpunan tersebut...tapi jarak masa tersebut sudah tidak mematuhi syarat yang ditetapkan".

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Promosi E-Alerts dan CommAlerts (aplikasi telefon pintar) di sini beliau berkata, polis tidak akan teragak-agak untuk bertindak tegas terhadap penganjur dan peserta jika mereka berdegil dan meneruskan perhimpunan itu dijadualkan di Dataran Bandaraya.

Menurut beliau, orang ramai membantah perhimpunan tersebut kerana khuatir tentang keselamatan mereka selain inginkan sebuah negara yang aman dan damai.

"Sejak berita mengenai penganjuran perhimpunan itu tersebar, polis menerima banyak aduan serta laporan daripada orang awam yang membantah perhimpunan itu," katanya.

Mengenai E-Alerts, Mokhtar berkata ia merupakan aplikasi pertama yang hanya dimiliki oleh Polis Johor dan mempunyai direktori secara online yang diwujudkan bertujuan menerima dan menghantar maklumat yang akan dipaparkan di laman web www.polisjohor.gov.my.

"E-Alerts kini menjadi satu medium perantaraan polis dengan masyarakat secara interaktif bagi membuka ruang penyaluran maklumat dan menjadi interaksi komunikasi khusus yang lebih berkesan," kata beliau.

Ia merupakan yang kedua diperkenalkan oleh Polis Johor selepas 'Community Alerts', aplikasi sistem bantuan kecemasan yang berfungsi untuk melaporkan sebarang kejadian termasuk jenayah dan kemalangan dalam tempoh lima saat.

Selepas dua bulan pelancarannya, jumlah pengguna Community Alerts telah mencapai sehingga 8,801 dengan 7,161 pengguna mendaftar melalui OS Google Android manakala bakinya mendaftar dengan Apple IOS (iPhone, iPad, iPod Touch). BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan