Calon Bebas Bantah Pemecatannya Dalam DAP

Diterbitkan: Isnin, 13 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUTTERWORTH: Calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan pada pilihan raya umum ke-13, G. Asoghan pada Isnin mempertikai pemecatannya sebagai anggota DAP.

Beliau berkata, pemecatannya itu tidak sah kerana kesahihan status Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu masih disiasat oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) ekoran aduan yang mendakwa berlaku penyelewengan dalam pemilihan CEC pada Disember lepas.

Asoghan yang juga Ketua Cawangan DAP Jalan Bagan Luar berkata, beliau menerima surat pemecatan bertarikh 23 April itu pada Jumaat lepas yang ditandatangani Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP Tan Kok Wai.

Beliau mendakwa ekoran kesahihan pemegang jawatan itu belum diputuskan ROS, maka tiada sesiapapun yang layak atau mempunyai kuasa untuk mengambil sebarang tindakan terhadap beliau atau anggota parti yang lain.

"Kita memang sedia maklum bahawa pemilihan parti pada Disember lepas untuk memilih pucuk pimpinan DAP tidak sah di sisi undang-undang kerana berlakunya kepincangan dan penipuan. Jadi surat pemecatan saya yang ditandatangani Tan (Kok Wai) yang kononnya Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP adalah tidak sah di sisi undang-undang," katanya kepada pemberita di sini.

Asoghan berkata, beliau akan terus menjalankan tugasnya sebagai ketua cawangan yang bertanggungjawab dan tidak akan mengendahkan surat pemecatan itu.

"Saya ingin tegaskan kepada DAP bahawa saya bukan sahaja ketua cawangan sah tapi seorang delegasi yang layak di sisi undang-undang untuk mengambil bahagian dan mengundi dalam pemilihan kelak," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan