Himpunan PR Wujudkan Rasa Kebersamaan Dalam Masyarakat Berbilang Kaum - Anwar

Diterbitkan: Ahad, 12 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NIBONG TEBAL: Sokongan terhadap Perhimpunan 'Black505' Pakatan Rakyat (PR) telah meningkatkan rasa kebersamaan di antara kaum yang berbeza, kata pemimpin PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian pada perhimpunan kedua PR bagi membantah keputusan pilihan raya umum ke-13 di Stadium Batu Kawan di sini malam Sabtu.

Penyokong PR kebanyakannya berpakaian hitam, hadir dari seawal pukul 4.00 petang walaupun perhimpunan itu hanya bermula jam 8.30 malam.

Trafik merangkak- rangkak beberapa kilometer di sepanjang jalan-jalan utama menuju ke stadium.

Pada pukul 10 malam, orang ramai masih berpusu-pusu dengan sesetengah daripada mereka berjalan sejauh 5km atau lebih selepas mendapati sukar untuk mendapatkan tempat letak kereta berhampiran dengan tempat itu.

Pada acara itu, pengacara mengumumkan terdapat orang-orang yang tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai pegawai dan mengumpul dana daripada orang ramai.

Beliau memberitahu mereka yang hadir bahawa pegawai mereka menggunakan bekas plastik dan bukan beg plastik untuk mengutip sumbangan orang ramai.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tiba di majlis tersebut hanya pada pukul 10.55 malam setelah terperangkap dalam kesesakan selama dua jam.

Tidak seperti perhimpunan pertama Pakatan di Kelana Jaya pada Rabu, terdapat kehadiran pasukan polis untuk memantau lalu lintas dan keselamatan awam.

Dilaporkan bahawa pihak penganjur telah mengemukakan notis kepada Ketua Polis Daerah mengenai perhimpunan tersebut, sebagaimana yang dikehendaki di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Perhimpunan seterusnya adalah di Medan Istana Ipoh Perak pada malam ini, diikuti Kuantan pada Selasa dan Johor Baru pada Rabu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan