Ulang Tahun Ke-67 Umno Dirai Penuh Kesyukuran

Diterbitkan: Sabtu, 11 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Najib bersama para jemaah membaca surah Yassin selepas menunaikan solat Maghrib sempena Ulang Tahun UMNO Ke-67 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada Sabtu.- fotoBERNAMA
Najib bersama para jemaah membaca surah Yassin selepas menunaikan solat Maghrib sempena Ulang Tahun UMNO Ke-67 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada Sabtu.- fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Seminggu selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan ekoran pilihan raya umum Ahad lepas, sambutan ulang tahun ke-67 Umno diadakan dengan penuh kesyukuran di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam Sabtu.

Majlis itu dimulakan dengan solat Maghrib di Surau Ar-Rahman, PWTC diikuti bacaan surah Yasin, tahlil, doa kesyukuran serta solat Isyak.

Majlis bertemakan '67 Tahun Menepati Janji' itu dihadiri para pemimpin tertinggi Umno termasuk Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak serta ribuan anggota Umno.

Najib berbaju Melayu biru dan bersongkok tiba pada 7.20 malam dengan diiringi anak beliau, Norashman Razak.

Turut hadir bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, naib-naib presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Penerangan Datuk Ahmad Maslan.

Majlis itu turut dihadiri kira-kira 2,500 orang termasuk anggota Umno.

Selepas itu, upacara menaikkan bendera Umno 'Sang Saka Bangsa' serta nyanyian lagu Umno 'Bersatu Bersetia Berkhidmat' disempurnakan di Dewan Merdeka PWTC sebelum Najib menyampaikan amanatnya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan