Veteran MCA Gesa Dr Chua Segera Letak Jawatan

Diterbitkan: Jumaat, 10 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sekumpulan pemimpin veteran MCA mendesak presiden parti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek supaya segera meletak jawatan memandangkan beliau perlu memikul sepenuh tanggungjawab terhadap kekalahan parti dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Mengakui bahawa mereka berasa sedih dan malu dengan pencapaian parti pada PRU-13, kumpulan itu turut menggesa supaya pemilihan pemimpin baharu parti diadakan untuk menentukan halatuju parti, terutamanya berhubung isu perwakilan Cina dalam kerajaan.

Kumpulan 15 pemimpin veteran MCA itu terdiri daripada bekas presiden Tan Sri Lee San Choon dan Tan Koon Swan; bekas timbalan presiden Tan Sri Lim Ah Lek, bekas Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Michael Chen, bekas Menteri Kesihatan Tan Sri Lee Kim Sai dan bekas Ketua Pengarah Pentadbiran MCA Tan Sri Wong Seah Wah.

Selain itu bekas Pengerusi MCA Pulau Pinang Tan Sri Dr Sak Cheng Lum, bekas Bendahari Agung Tan Sri Lau Yin Pin, Datuk Jimmy Lau, bekas anggota majlis presiden Datuk Fu Ah Kiow, Datuk Wong See Chin, Datuk Wong Kam Hong, Datuk Freddie Long, Datuk Seri Kee Yong Wee dan Wang Choon Wing.

"Kami dengan merendah diri meminta presiden kami supaya melepaskan jawatan dan membenarkan pemimpin baharu untuk melakukan perubahan, memulihkan dan memberi kesedaran kepada parti.

"Kami tidak ada agenda diri ataupun menentang Dr Chua secara peribadi. Kami hanya merayu demi kecintaan kami kepada parti dan komuniti," kata jurucakap kumpulan itu, Tan Koon Swan, dalam sidang akhbar bersama di sini.

MCA mengalami satu daripada kekalahan terburuknya dalam pilihan raya setelah sekadar memenangi tujuh kerusi parlimen dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya dalam pilihan raya umum 5 Mei, berkurangan lebih daripada separuh kerusi yang dimenangi parti itu pada 2008.

Sementara itu, dalam mesyuarat agung luar biasa pada 2011, MCA meluluskan resolusi bahawa parti itu tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan sekiranya pencapaiannya lebih buruk daripada pilihan raya umum ke-12.

Pada 2008, parti itu memenangi 15 kerusi parlimen dan 32 kerusi DUN, daripada sejumlah 130 kerusi yang ditandinginya.

"Hati saya hancur luluh ketika melihat berita tentang anggota parti yang menurunkan papan tanda di pusat khidmat mereka. Oleh itu beliau (Dr Chua) mesti melepaskan jawatannya segera dan biarlah jawatankuasa pusat menerusi perlembagaan parti memutuskan kepimpinan baharu dan usaha ke arah pemulihan semula parti. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan