PAS Perlu Kemukakan Calon MB Selangor - Hasan Ali

Diterbitkan: Jumaat, 10 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Presiden Jalur Tiga (Jati) Datuk Dr Hasan Ali berkata PAS Selangor perlu mengemukakan calon untuk mengisi jawatan Menteri Besar Selangor kerana peluang ini hanya datang sekali sahaja.

Beliau berkata calon PAS di negeri itu terdiri daripada golongan profesional yang layak mentadbir dan memajukan negeri Selangor ke tahap yang lebih baik.

"Penduduk Selangor yang didominasi oleh kaum Melayu mahukan pemimpin yang mampu membangunkan negeri dengan syariat Islam seperti di Kelantan dan Kedah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bacaan Yassin di Pejabat Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron di Seri Negeri, di sini Jumaat.

Hasan, yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, berkata demikian ketika diminta mengulas suasana politik di Selangor melibatkan PAS, PKR dan DAP dalam menentukan Menteri Besar.

Pada Khamis, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dari PKR dikekalkan jawatannya walaupun PKR hanya menang 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berbanding PAS dan DAP masing-masing dengan 15 kerusi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan