Penduduk Selangor Mahu MB Yang Kurang Politiking, Utamakan Perpaduan

Diterbitkan: Khamis, 9 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Persoalan siapa bakal menteri besar Selangor menjadi topik paling hangat dibincangkan dan jawapannya hanya akan terungkai dalam tempoh seminggu dari sekarang seperti yang dimaklumkan kepada pihak media.

Bagi penduduk di Selangor, siapapun yang dipilih, beliau perlulah seorang yang mampu memastikan Selangor Darul Ehsan terus kekal menjadi negeri termaju di Malaysia sekaligus memberi manfaat kepada rakyat negeri itu.

Norsarizan Mat Youb, 28, seorang ahli perniagaan, berkata calon paling layak memegang jawatan penting itu ialah seorang yang mampu memastikan perpaduan kaum dan keamanan dipelihara terutama dalam memastikan hak semua kaum dijaga dengan sebaik-baiknya.

"Kita mahu semua bangsa harmoni antara satu sama lain, keamanan itu penting dan rakyat mahu hidup tanpa rasa sangsi antara satu sama lain," katanya.

Anak jati Jenjarom, Banting itu berkata pemilihan haruslah dilakukan dengan muafakat memandangkan gabungan parti-parti PAS, PKR dan DAP akan bersama-sama mentadbir Selangor.

K. Sasirekha, 32, seorang guru berkata ciri paling penting bagi seorang menteri besar ialah beliau seorang yang mampu menjaga kebajikan semua kaum dalam segala aspek termasuk peluang ekonomi dan sosial.

Beliau yang menetap di Selangor sejak lahir, berkata tua atau muda tidak menjadi masalah, asalkan pemimpin itu berusaha dan mampu menjaga kebajikan serta memastikan tidak ada sesuatu kaum yang tercicir di negeri ini.

"Kita mahu pemimpin yang boleh membuat keputusan dengan baik dan tegas, peluang perlu sama rata," katanya sambil berkata pemimpin yang dipilih perlu arif dengan sejarah dan keadaan negeri Selangor.

Bagi pesara guru, Fatimah Manap, 69, menteri besar Selangor seharusnya perlu sentiasa turun padang dan mendekati rakyat, tidak kira di kawasan bandar atau luar bandar.

Beliau yang menetap di Shah Alam sejak 26 tahun lepas, berkata menteri besar juga haruslah seorang yang mesra rakyat dan berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira kaum dan fahaman politik.

"Yang paling penting beliau sebagai seorang Islam perlu meletakkan agama Islam di kedudukan pertama. Menteri besar Selangor juga tidak seharusnya hanya mementingkan kawasan beliau sahaja, sebaliknya perlu mengutamakan semua kawasan memandangkan beliau adalah pemimpin negeri Selangor," katanya.

Eksekutif Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar Nur Syahira Sharifuddin, 32, berkata jawatan menteri besar Selangor perlu dipegang oleh seorang yang bersih dan bebas daripada rasuah dan kontroversi.

Beliau yang berasal dari Gombak, berkata rakyat Selangor inginkan seorang pemimpin yang tidak dibelenggu dengan masalah moral dan mempunyai perwatakan yang disenangi serta diterima oleh semua kaum.

Wan Ilyani Hasnan Zahedi, 32, seorang pengurus undang-undang pula mengharapkan menteri besar Selangor yang bakal dipilih kelak akan segera menyelesaikan masalah pengangkutan awam di kawasan tumpuan di negeri ini, terutama bandar raya Shah Alam yang masih tidak mempunyai perkhidmatan LRT.

"Menteri besar juga perlu memastikan anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) membina lebih banyak rumah mampu milik memandangkan kos sara hidup di kawasan bandar pada masa ini semakin meningkat lebih-lebih lagi bagi golongan muda dan baru berkahwin," katanya yang berasal dari Subang Jaya.

Seorang guru sekolah swasta, Mohd Fadzil Ismail, 44, pula berkata calon yang dipilih sebagai menteri besar perlu mengurangkan politiking sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas membangunkan negeri.

Beliau yang berasal dari Banting berkata menteri besar juga perlu seorang yang berintegriti, telus dan tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam menjalankan tugas untuk mentadbir negeri.

Bagi Teo Chee Keat, 36, seorang pengarah di syarikat swasta, menteri besar ialah seorang yang perlu meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaanya.

"Beliau mesti turun padang dan tahu masalah rakyat malah paling penting saya mahukan bekalan air yang bersih setiap hari tanpa sebarang gangguan," kata anak jati Klang itu.

Seorang Eksekutif Pengiklanan, Leong San San, 35, berkata calon menteri besar Selangor perlulah daripada kalangan mereka yang pakar dalam bidang ekonomi agar dapat menjamin pendapatan rakyat.

"Tidak mahu terlalu sibuk politik, tetapi pastikan ekonomi rakyat terbela dan semua kaum mendapat hak sama rata," katanya yang telah menetap di Selangor sejak lebih 30 tahun lepas. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 27 Jun 2017 3:00 PM

Ardell Dah Jemu Berlakon?

Selasa, 27 Jun 2017 2:25 PM

Siti Nurhaliza Pun Naik ETS Tau!

Selasa, 27 Jun 2017 9:33 AM

Hazman dan Eryn Raya Bersama?

Isnin, 26 Jun 2017 5:00 PM

Wow... Gaya 5 Selebriti Di Pagi Raya

Isnin, 26 Jun 2017 3:00 PM

Dapat Impak Ramai Penyanyi Bernama 'Wani'

Isnin, 26 Jun 2017 12:09 PM

Kisah Raya 3 Teruna

Isnin, 26 Jun 2017 9:30 AM

Selongkar Raya Zara Zya

Kolumnis

iklan

Iklan