Gerakan Tidak Akan Ikut Langkah MCA Tolak Semua Jawatan

Diterbitkan: Khamis, 9 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Parti Gerakan tidak akan mengikut langkah MCA yang menolak semua jawatan dalam kerajaan serta menutup pusat khidmat berikutan prestasi teruk dalam pilihan raya umum lepas, kata Timbalan Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn. Ini, katanya, kerana parti itu percaya kepada dasar dan ideologi yang dibawa Barisan Nasional (BN).

"Hanya kerana anda kalah teruk, tidak bermakna anda terus saja menolak jawatan. Anda boleh menolak jawatan jika anda mempunyai perbezaan dasar atau tidak bersetuju dengan dasar kerajaan, ya...anda mesti tolak," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Chang yang juga Pengerusi Gerakan negeri Perak berkata beliau tidak bersetuju dengan pendapat bahawa Gerakan perlu keluar daripada BN.

Gerakan tidak akan meninggalkan BN yang kini mempunyai dimensi baharu di bawah teraju Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, katanya.

"Saya tidak setuju bahawa Gerakan patut keluar daripada BN. Ini memang tidak wajar kerana Datuk Seri Najib memang seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan berwawasan serta melaksanakan banyak program untuk kebaikan rakyat," katanya.

Sebagai pemimpin peringkat atasan parti, Chang tidak menafikan bahawa beliau menerima pandangan berbeza-beza daripada anggotanya mengenai isu jawatan dalam kerajaan.

Bagaimanapun beliau berkata Gerakan akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pusat di Kuala Lumpur, Sabtu ini pada pukul 10.30 pagi bagi membincangkan secara mendalam perkara itu serta kedudukan pusat khidmat.

Gerakan menang hanya satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Parti itu bertanding 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi DUN.

Di Perak, Gerakan tewas semua kerusi DUN selain kerusi Parlimen Taiping, Beruas dan Teluk Intan.

Chang yang bertanding bagi kerusi Parlimen Beruas kalah kepada Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham dengan majoriti 5,057 undi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan