Khaled Nordin Menghadap Sultan Johor, Majlis Angkat Sumpah MB Minggu Depan

Diterbitkan: Rabu, 8 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Mohamed Khaled Nordin melambai tangan kepada pihak media selepas mengadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Pasir Pelangi pada Rabu.Foto:BERNAMA
Mohamed Khaled Nordin melambai tangan kepada pihak media selepas mengadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Pasir Pelangi pada Rabu.Foto:BERNAMA

JOHOR BAHARU: Bakal Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan mengangkat sumpah minggu depan bersama anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang lain setelah mendapat perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Rabu.

Anggota Dewan Undangan Negeri Permas itu dititah menghadap di Istana Pasir Pelangi dan antara perkara yang dibincangkan dengan Sultan Ibrahim ialah penentuan tarikh angkat sumpah menteri besar dan senarai barisan Exco.

Untuk rekod, Khaled bakal mengangkat sumpah sebagai menteri besar Johor yang ke-14.

Menteri Besar sebelum ini adalah Datuk Abdul Ghani Othman.

Ghani tidak bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri yang disandangnya sejak tahun 1995 kerana berubah ke kerusi parlimen Gelang Patah pada pilihan raya umum yang baru sahaja selesai Ahad lalu.

Bagaimanapun beliau tewas di tangan penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan itu, Mohamed Khaled berkata, beliau dititahkan Sultan Ibrahim supaya meneliti senarai barisan exco kerajaan negeri sebelum sekali lagi menghadap baginda bagi mempersembahkan calon-calon yang bakal dilantik.

"Di Johor, majlis angkat sumpah menteri besar dilakukan bersama-sama barisan exco. Jadi, ia akan mengambil masa sedikit," katanya yang akan menyelesaikan senarai barisan exco itu dalam minggu ini.

Turut hadir ialah Setiausaha Majlis Jumaah Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Obet Tawil.

Mohamed Khaled berkata, exco kerajaan Johor akan dibarisi 10 orang anggota yang melibatkan tujuh wakil Umno, dua daripada MCA dan satu MIC.

Bagaimanapun beliau akan mendapatkan kepastian terlebih dahulu daripada pihak MCA sama ada mahu meletakkan wakilnya kerana komponen itu sudah memutuskan untuk tidak menerima sebarang jawatan di peringkat persekutuan atau negeri selepas kalah teruk dalam pilihan raya ini.

Menurut Mohamed Khaled, Sultan Ibrahim banyak memberikan nasihat dan pandangan kepada beliau semasa majlis menghadap itu terutama berhubung senarai exco yang bakal dilantik.

"Tuanku mahu orang yang boleh bekerja dan memikirkan hal kepentingan rakyat Johor, supaya rakyat menerima perkhidmatan sebaik mungkin," katanya.

Ditanya mengenai DUN Johor yang agak mencabar selepas ini dengan adanya 18 kerusi pembangkang, beliau berkata tiada apa yang perlu dikhuatirkan sekiranya wakil Barisan Nasional menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.

Mohamed Khaled memenangi kerusi DUN Permas selepas menewaskan calon PAS Syed Othman Syed Abdullah dengan majoriti 5,752 undi.

Barisan Nasional kekal memerintah Johor apabila mendapat majoriti dua pertiga dengan memenangi 38 daripada 56 kerusi DUN. Daripada 18 DUN yang dimenangi pembangkang, 14 daripadanya DAP, tiga (PAS) manakala satu daripada PKR.

Latar Belakang MB Baru

Khaled yang dilahirkan pada 30 November 1958 pertama kali bertanding pada pilihan raya umum 1995 di kerusi Parlimen Johor Baharu.

Beliau memulakan kerjaya politiknya sebagai setiausaha politik kepada Tan Sri Shahrir Samad yang ketika itu adalah menteri Wilayah Persekutuan.

Khaled juga pernah memenangi kerusi Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia pada tahun 1995 dan kemudiannya sebagai ahli majlis kerja tertinggi Umno. Selepas berjaya mempertahankan kerusi parlimen Johor Baharu sekali lagi pada tahun 1999, Khaled telah berpindah ke kawasan parlimen baru Pasir Gudang apabila persempadanan semula kawasan pilihan raya dibuat.

Di peringkat kabinet persekutuan, Khaled pernah menyandang jawatan timbalan menteri kerja raya di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selepas memenangi pilihan raya 2004 mewakili kawasan parlimen baru Pasir Gudang, Khaled telah dilantik sebagai menteri pembangunan usahawan dan koperasi di bawah kerajaan pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pada pilihan raya 2008, beliau berjaya mempertahankan kerusi parlimen Pasir Gudang sekali lagi dan kemudian dilantik sebagai menteri pengajian tinggi yang baru.

Selepas Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Abdullah, Khaled terus dikekalkan di potfolio yang sama.

Pada pilihan raya yang baru sahaja selesai Ahad lalu, Khaled buat pertama kalinya diletakkan bertanding di kerusi dewan undangan negeri iaitu DUN Permas yang juga terletak di bawah parlimen Pasir Gudang.

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan