Bekas Menteri Syor DAP Sertai K'jaan Untuk Wakili Masyarakat Cina

Diterbitkan: Rabu, 8 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin pada Rabu menyarankan DAP agar menyertai Barisan Nasional (BN) sebagai mewakili kaum Cina.

Katanya, langkah itu memang sukar diterima oleh DAP dan BN serta penyokong masing-masing buat masa sekarang tetapi perlu dilakukan demi keharmonian dan kestabilan politik negara.

"Memang sukar untuk DAP menawarkan diri dan sukar juga untuk kerajaan BN menerimanya, tetapi hal ini harus dilihat dari segi hasrat Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melangkah ke arah "national reconciliation" setelah negara dilanda Tsunami Cina yang mencedera parahkan nilai kejatian diri Malaysia," katanya dalam blognya Zamkata.

Tulis beliau lagi, orang Cina yang kini berada dalam euphoria kemenangan belum merasai lagi kesakitannya (kerana tidak diwakili dalam kerajaan), tetapi dalam jangka masa panjang, mereka akan menyedari kesilapan besar yang telah dilakukan (iaitu dengan menolak BN).

Pada pilihan raya yang baru selesai Ahad lalu, BN memenangi 133 kerusi parlimen manakala Pakatan Rakyat pula 89 kerusi.

Najib mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada Isnin dengan ketiadaan wakil kaum Cina dalam kabinet yang bakal dibentuk nanti.

Ini adalah kerana pucuk pimpinan MCA, yang memenangi tujuh daripada 37 kerusi yang mereka tandingi memutuskan tidak mahu menganggotai jemaah menteri baharu Najib.

Keputusan untuk tidak akan menyertai mana-mana jawatan dalam kerajaan itu dibuat dalam mesyuarat agung luar biasa MCA beberapa tahun lalu sekiranya parti itu gagal mencapai keputusan yang jauh lebih baik daripada pilihan raya 2008.

Sebuah lagi parti dominan kaum Cina dalam BN iaitu Gerakan juga ditolak pengundi Cina dengan hanya memenangi satu kerusi Dewan Rakyat.

Dalam hal ini Zam yang pernah bertugas sebagai ketua pengarang Kumpulan Utusan selama 10 tahun berkata: "Masyarakat Cina yang mengharapkan penghapusan kerajaan dominan Melayu BN telah dihadiahkan oleh DAP dengan sebuah kerajaan tanpa orang Cina."

Justeru DAP sedang menghadapi tekanan amat berat daripada masyarakat Cina yang kecewa untuk mendapat perubahan kerajaan seperti yang diyakinkan kepada mereka oleh penasihatnya, Lim Kit Siang, dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Zam lagi.

"Maka itu kita dapat melihat keadaan mereka berdua seperti cacing kepanasan setelah mencapai kemenangan besar yang tidak mencecah Putrajaya.

"Dan kerana itu mereka mahu kembali ke jalan raya untuk menutup kegagalan mereka dan mengelirukan pengikut-pengikut terhadap pembohongan dan penipuan mereka dengan menuding jari ke pihak lain," katanya.

Menurut Zam, jalan terbuka bagi DAP untuk menenangkan kemarahan masyarakat Cina kepadanya ialah dengan menawarkan penyertaan DAP dalam kerajaan, kerana ia parti yang mewakili orang Cina Malaysia sekarang yang terbukti dengan keupayaannya mendapat 38 kerusi berbanding MCA hanya 7 kerusi.

Zam berkata, untuk menyelamatkan maruahnya, DAP memerlukan sokongan daripada masyarakat Cina untuk membuat tawaran kepada kerajaan.

"Dan tentunya sikap mereka yang pragmatik, materialistik dan realistik memudahkan mereka untuk membuat keputusan yang sesuai dengan kepentingan orang Cina," tambah beliau lagi.

Bagaimanapun, katanya, halangan terbesar ialah PKR yang pastinya sama sekali tidak dapat menyertai jemaah menteri baharu kerana kepimpinannya menghadapi rayuan kes tuduhan meliwat yang belum selesai.

Katanya, DAP harus menimbang untung rugi berada di luar kerajaan berbanding jika DAP berada dalam kerajaan untuk jangka masa lima tahun akan datang.

Antara faktor yang DAP dan BN perlu ambil kira ialah jurang politik yang wujud jika kedua-dua pihak terus bertegang di atas dasar masing-masing yang sudah tidak sezaman dengan Nasionalisme Malaysia Baharu.

Jika PAS sanggup mengorbankan dasar negara Islamnya untuk bekerjasama dengan DAP, maka tentunya DAP dan BN juga dapat mengambil langkah yang dinamik dalam politik, ujarnya.

"Kedua-dua pihak mestilah sanggup untuk bertolak ansur dan mengorbankan prinsip keras masing-masing yang sudah tidak praktikal dan lapuk untuk disesuaikan dengan cita rasa generasi baharu Malaysia," katanya.

Zam berpendapat, jika DAP dapat bekerjasama dengan PAS yang langsung tidak mempunyai persamaan nilai agama, ekonomi dan sosial, maka tentunya lebih mudah untuk mereka bekerjasama dengan BN yang liberal tanpa ideologi yang keras.

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan