Wujudkan Gabungan Kerjasama Umno-PAS Sekat Kemaraan DAP

Diterbitkan: Selasa, 7 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden JATI Datuk Dr Hasan Ali pada Isnin mencadangkan supaya usaha dibuat untuk mewujudkan gabungan kerjasama antara PAS dan Umno sebagai langkah menyekat kemaraan DAP.

Beliau berkata keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) Ahad, sepatutnya membuka ruang lebih luas untuk diadakan perbincangan serius berhubung kerjasama antara kedua-dua parti itu.

"Sudah sampai masanya Umno dan PAS melupakan sengketa lama untuk secara serius duduk merancang dan memikirkan aganda umat secara bersama demi perpaduan dan kebaikan ummah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Keputusan PRU-13 menyaksikan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi Umno, kembali berkuasa setelah memenangi 133 kerusi parlimen, diikuti DAP (38), PKR (30) dan PAS (21).

Hasan menarik perhatian berdasarkan keputusan pilihan raya itu, jelas kelihatan kehadiran PAS dalam pakatan rakyat hanya menguntungkan DAP, bukan sebaliknya.

Menurutnya, pengundi Melayu atas nama setiakawan pakatan rakyat memberi undi kepada DAP di Gelang Patah tetapi di kebanyakan tempat dengan minoriti Cina, keadaan serupa tidak berlaku dan menyebabkan calon PAS kecundang di kawasan-kawasan berkenaan.

"Atas dasar ini, bukankah munasabah untuk dilihat secara serius gabungan kerjasama antara PAS dan Umno untuk menyekat kemaraan DAP," katanya.

Perebutan bagi kerusi parlimen Gelang Patah di Johor menyaksikan Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman dikalahkan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Hasan turut sudah sampai masanya BN dan Umno bermuhasabah untuk mengenal pasti dan memperbaiki segala kelemahan supaya selari dengan kehendak dan aspirasi majoriti pengundi dan penyokong mereka.

Dalam pada itu, Ketua Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menerima suara rakyat yang disalurkan melalui PRU-13 walaupun kecewa dengan keputusan itu.

Menurutnya, segala permintaan untuk menambah baik proses pilihan raya dan amalan demokrasi di negara ini telah dituruti kerajaan, namun masih ada yang mempertikai keputusan suara rakyat pada PRU-13.

"Kita nak bekerja dan memenuhi mandat diberi rakyat dan bukan terus menerus bergaduh macam ni yang hanya akan merugikan negara. BN pun bukan menang besar, tapi kita terima hakikat itu kehendak rakyat," kata Syed Ali.

Sementara itu, Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM) mahu pemimpin kerajaan yang baru dipilih di peringkat persekutuan dan negeri supaya mempunyai iltizam politik yang kuat untuk sentiasa memperbaiki dasar-dasar sosio-ekonomi.

Dalam satu kenyataan, Presiden ACCCIM, Datuk Lim Kok Cheong berkata membantu komuniti perniagaan, terutamanya sejumlah besar perusahaan kecil dan sederhana, adalah penting untuk meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos menjalankan perniagaan.

Beliau juga menyeru agar semua janji yang dibuat semasa kempen pilihan raya yang ditunaikan dan bagi kerajaan membina Malaysia yang lebih harmoni dan progresif dengan melaksanakan program-program transformasi sosio-ekonomi yang memberi manfaat semua kaum. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan