Tidak Terima Kemenangan BN: Najib Sifatkan Pembangkang Bersikap Selektif

Diterbitkan: Selasa, 7 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa membidas pembangkang yang masih enggan mengakui kemenangan Barisan Nasional (BN) di peringkat nasional, tetapi memperakui kemenangan mereka di tiga negeri.

Menyelar sikap selektif pembangkang itu, Najib secara sinis menyifatkan tindakan itu sebagai "aneh" kerana keputusan itu dibuat melalui satu sistem yang sama iaitu berdasarkan pilihan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang baru berakhir Ahad lepas.

"Yang anehnya dia pertikai (kemenangan BN) di peringkat nasional tetapi keputusan di negeri-negeri (yang dimenangi pembangkang) diterima. Di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang siap angkat sumpah (menteri besar dan ketua menteri).

"Jadi kenapa mereka tidak dapat terima di peringkat nasional seperti yang mereka terima di peringkat negeri... jangan selektif..apabila kamu menang kamu terima, apabila kamu tidak menang kamu tidak dapat terima, tak bolehlah macam tu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan khas dengan anggota Parlimen BN di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini.

Mengenai rancangan pembangkang untuk mengadakan perhimpunan kononnya bertujuan membantah kemenangan BN di peringkat nasional, Najib berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana Malaysia mempunyai sistem dan perundangan untuk mana-mana pihak menyalurkan ketidakpuasan hati.

"Kalau tidak puas hati tunjukkan bukti, jangan buat perhimpunan," tegasnya.

Kata Najib, BN ada merasa tidak puas hati juga, contohnya, terdapat beberapa perkara yang tidak berpihak kepada BN, antaranya jumlah undi yang berpihak kepada BN terpaksa dibuang kerana terpalit dengan dakwat kekal, tetapi parti gabungan itu akur dengan keputusan tersebut.

"Di beberapa tempat ada insiden di mana kertas undi terpalit dengan dakwat dan terpaksa dibuang...malah Datuk S.Subramaniam kata lebih daripada 700 undi untuk BN ditolak disebabkan terpalit dakwat kekal...tapi kami terima kerana ia adalah keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya," katanya.

Mengenai dakwaan pakatan rakyat bahawa mereka memperoleh lebih undi popular, Najib berkata Malaysia mengamalkan sistem Perlembagaan dan bukannya 'sistem presiden' seperti di Amerika Syarikat.

"Setiap negara mempunyai satu sistem...kamu perlu terima sistem itu...jika kamu mahu undi popular, kamu ambil sistem presiden. Tapi sistem kita bukan sistem presiden tetapi berdasarkan kepada kawasan Parlimen," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan