Penyebaran Gambar Jalur Gemilang Diterbalikkan Perbuatan Biadap

Diterbitkan: Selasa, 7 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tokoh Belia Negara 2011 Mohammad Rizan Hassan berpendapat perbuatan pihak yang menyebarkan gambar sekumpulan belia didakwa pelajar Malaysia di luar negara menterbalikkan bendera Malaysia dan membuat isyarat tidak bagus adalah biadab dan angkuh.

Dalam kenyataan media hari ini, Mohammad Rizan berkata perbuatan pihak tidak bertanggungjawab itu adalah cubaan untuk mencetuskan provokasi dan kemarahan rakyat Malaysia.

"Saya percaya mereka yang tidak berakal ini sengaja melakukannya tatkala situasi keputusan pilihan raya umum ke-13 sedang hangat diperkatakan," katanya.

Mohammad Rizan juga berkata rakyat di negara ini mesti peka dengan keperluan untuk mewujudkan sikap hormat menghormati antara satu sama lain dan berwaspada terhadap sensitiviti agama serta budaya.

Ketika dihubungi Bernama, Mohammad Rizan berkata perbuatan mereka yang bergambar dengan menterbalikkan bendera Malaysia juga adalah biadab.

Gambar yang menunjukkan sekumpulan belia yang dikatakan pelajar Malaysia di luar negara itu mula tersebar di laman Facebook sejak semalam dan telah mencetuskan kemarahan pelbagai pihak. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan