'Tsunami' Pengundi Cina Punca BN Gagal Dapat Semula Selangor - Noh Omar

Diterbitkan: Isnin, 6 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor mengakui perubahan 'tsunami' pengundi Cina pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Ahad merupakan faktor utama yang menyebabkan gabungan itu gagal menawan semula Selangor daripada Pakatan Rakyat.

Timbalan Pengerusinya Datuk Seri Noh Omar berkata kecenderungan kaum itu terhadap gabungan parti PAS-PKR-DAP di negeri itu telah menyebabkan B Nkehilangan lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada PRU 2008, BN memenangi enam daripada 22 kerusi Parlimen dan 20 daripada 56 kerusi DUN.

Bagaimanapun, pada pilihan raya umum ini, BN Selangor hanya memperoleh lima kerusi Parlimen dan 12 kerusi DUN.

Noh berkata kajian mendalam akan dijalankan bagi mengenalpasti punca sokongan kaum itu beralih kepada pakatan rakyat serta kehendak sebenar pengundi Cina selepas BN banyak menyalurkan bantuan kepada mereka.

Misalnya, katanya walaupun beliau menang dengan majoriti 4,394 di kerusi Parlimen Tanjong Karang tetapi beliau kalah di kawasan pengundi majoriti Cina.

"Tidak ada peti undi yang boleh menang kalau ada majoriti pengundi Cina," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Umno Selangor di sini Isnin.

Beliau berkata BN Selangor terkejut dan kecewa dengan kekalahan banyak kerusi di kawasan ramai pengundi Cina walaupun beberapa kerusi berkenaan dilihat berpeluang cerah untuk menang.

"Saya rasa tidak ada yang saya tidak tolong orang Cina. Mengapa mereka tidak undi kita sedangkan dalam aktiviti dan program kita buat mereka tampil memberi sokongan," katanya.

Noh, yang mempertahankan kerusinya buat penggal kelima, berkata keputusan PRU13 menunjukkan proses pilihan raya berjalan lancar dan adil mengikut lunas-lunas demokrasi dan semua pihak perlu menerima keputusan yang ditentukan rakyat.

Ditanya sama ada faktor pemilihan calon BN turut menyumbang kepada kegagalan BN menawan semula Selangor, Noh menjelaskan ada kawasan di mana calonnya tidak dibantah dan dipertikaikan tetapi tetap tewas kepada lawan masing-masing.

Beliau juga tidak menolak faktor geografi turut memainkan peranan di mana ramai calon BN menang di sebelah utara Selangor seperti di Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjong Karang, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

Mengenai sokongan pengundi muda kepada BN, Noh berkata saluran anak muda bertambah dan kembali memberi sokongan kepada gabungan itu.

Ditanya mengenai penstrukturan semula kepimpinan BN di negeri itu dan pelantikan ketua pembangkang yang baru, beliau berkata pihaknya akan menyerahkan kepada Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memutuskannya. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan