Silap Percaturan Sebabkan Empat Pemimpin PAS Tumbang

Diterbitkan: Isnin, 6 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kesilapan percaturan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kali ini menyaksikan empat pemimpin utamanya tumbang dalam cabaran merebut kerusi Parlimen Pendang, Arau, Putrajaya dan Pulai.

Meskipun mampu mengekalkan penguasaan di Kelantan, kekalahan empat tonggak utama PAS itu memberi kesan kepada kedudukan PAS dalam pakatan rakyat.

Pemerhati politik melihat percaturan meletakkan Timbalan Presidennya Mohamad Sabu bertanding di kawasan majoriti Melayu di Pendang, Kedah sebagai satu kesilapan memandangkan senario semasa sokongan semakin berpihak kepada Barisan Nasional (BN).

Pensyarah Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr Faisal S.Hazis berkata keputusan BN menamakan anak bekas perdana menteri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah juga memberi impak positif terhadap sokongan orang Melayu.

Beliau turut mengakui kelemahan pentadbiran kerajaan negeri PAS di bawah pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak seperti isu kuil, pembalakan dan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) adalah antara faktor mendorong orang Melayu memberi undi kepada BN.

"Bila ada banyak isu dalam kerajaan negeri seperti gagal menangani isu kuil, pembalakan di Pedu, rakyat mula tahu dan sedar apa kelemahan kerajaan PAS.

"Keputusan BN menamakan Mukhriz sebagai calon menteri besar juga antara faktor yang mengubah sokongan orang Melayu dibantu paduan erat di kalangan ahli Umno yang berpecah pada 2008," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.

Selain Mohamad, turut kecundang ialah Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din di kerusi Parlimen Arau, Perlis serta dua Naib Presiden Datuk Husam Musa di Putrajaya, Wilayah Persekutuan dan Salahuddin Ayub di Pulai, Johor.

Pemerhati politik juga berpendapat faktor sokongan PAS terhadap penggunaan kalimah Allah bagi bukan Islam dan perbalahan mengenai pelaksanaan hukum hudud dalam kalangan sekutunya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP juga antara faktor penyumbang kepada kekalahan.

Mengulas perkara itu, Prof Madya Dr Samsul Adabi Mamat berkata penolakan terhadap empat tokoh PAS itu petanda jelas bahawa rakyat semakin bosan dengan dasar perjuangan parti itu yang sering berubah dan tidak konsisten.

PAS yang terpalit dengan pelbagai kontroversi sebelum ini, juga berdepan faktor kerjasama dengan DAP, yang menentang pelaksanaan hukum hudud yang diperjuangkan PAS.

"Perjuangan Islam PAS yang tidak konsisten kini mula ditolak oleh orang Melayu. Selain itu pengaruh 'anwarinas' dalam kalangan anggota PAS juga menjatuhkan imej PAS dan inilah yang diprotes rakyat," katanya.

Pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu juga tidak menolak bahawa pemecatan bekas pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali dan bekas timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa yang digugurkan sebagai anggota Majlis Syura turut memberi kesan terhadap keputusan PAS pada pilihan raya umum kali ini.

PRU-13 menyaksikan PAS memperoleh 21 kerusi Parlimen berbanding 23 kerusi pada pilihan raya umum 2008.

Pilihan raya kali ini juga menyaksikan PAS hilang penguasaan di Kedah serta hilang lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan iaitu daripada 37 kerusi kepada 32 kerusi DUN.

Bagaimanapun PAS meningkatkan penguasaannya di peringkat DUN Di Terengganu, Johor, Melaka dan Selangor dengan memperoleh 85 kerusi berbanding 83 kerusi pada pilihan raya umum 2008. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan