PM Pertahan Kerusi Parlimen Pekan Dengan Majoriti Lebih Besar

Diterbitkan: Isnin, 6 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempertahan kerusi parlimen Pekan untuk penggal ke-10 dengan majoriti 35,613 undi, jauh lebih besar daripada kemenangannya pada pilihan raya umum 2008, mengalahkan lawannya daripada PKR Mohd Fariz Musa.

Pada pilihan raya umum 2008 Najib menewaskan calon PKR Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dengan majoriti undi sebanyak 26,464.

Dalam keputusan yang diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Pekan Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini malam Ahad, Najib memperoleh 51,278 undi, jauh meninggalkan lawannya Mohd Fariz yang mendapat 15,665 undi.

Mohd Fadzli berkata jumlah undi rosak ialah 1,275, manakala jumlah pemilih yang keluar mengundi seramai 68,463 orang daripada 80,260 pengundi yang berdaftar.

Sementara itu, empat calon Barisan Nasional (BN) di kawasan dewan undangan negeri (DUN) di bawah kawasan parlimen Pekan yang diwakili dua muka baharu dan dua muka lama turut cemerlang menewaskan lawan masing-masing.

Calon BN di DUN Bebar, Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff mengalahkan Mohd Jafri Ab Rashid (PKR) dengan majoriti 6,715 undi.

Calon Peramu Jaya, Datuk Mohmed Puzi Sh Ali cemerlang menewaskan dua lawannya iaitu Syed Mohamad Faiz Syed Azemmant (Bebas) dan Abu Kassim Manaf (PAS) dengan majoriti 7,627 undi, sekaligus menyaksikan calon Bebas itu hilang wang pertaruhan.

Sementara itu, Khairuddin Mahmud turut mengekalkan DUN Pulau Manis buat penggal kedua apabila menewaskan calon PAS Othman Bakar dengan undi majoriti 5,596.

Abu Bakar Harun pula mempertahan kerusi DUN Chini untuk penggal ketiga dengan mengalahkan calon PKR Sitarunishah Ab Kadir dengan majoriti 7,675 undi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan