Khalid Samad Pertahan Kerusi Parlimen Shah Alam

Diterbitkan: Isnin, 6 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Calon PAS Khalid Abdul Samad mempertahankan kerusi Parlimen Shah Alam dengan majoriti 10,939 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Zulkifli Noordin.

Dalam pertarungan satu lawan satu itu, Khalid memperoleh 49,009 undi berbanding Zulkifli yang mendapat 38,070 undi, manakala 863 adalah undi rosak.

Peratus keluar mengundi yang dicatat ialah 88.2 peratus.

Keputusan itu diumum Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen Shah Alam Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan.

Mengulas kemenangannya, Khalid berkata kejayaan itu merupakan berkat usaha jentera pilihan rayanya yang bertungkus lumus siang dan malam bagi memastikan kemenangan PAS di kawasan Parlimen itu.

Sebagai wakil rakyat beliau akan berkhidmat sebaiknya untuk membalas kepercayaan dan amanah yang diberikan rakyat Shah Alam kepadanya.

Sementara itu pertembungan tiga penjuru bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga menyaksikan Rodziah Ismail daripada PKR mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 3,805 undi.

Rodziah memperoleh 21,284 undi menewaskan Datuk Ahmad Nawawi M Zin dari B Nyang memperoleh 17,479 undi dan calon bebas Mohd Uzi Che Hussin yang mendapat 124 undi.

Bagi kerusi DUN Kota Anggerik, calon PKR Dr Yaakob Sapari mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 4,503 undi.

Pertandingan tiga penjuru bagi kerusi DUN itu menyaksikan Yaakob memperoleh 26,261 undi berbanding calon BN Mohd Yusof Din yang memperoleh 21,758 undi dan calon bebas Eriq Faisal Rusli yang mendapat 136 undi.

Kawasan Parlimen Shah Alam mempunyai 99,957 pengundi dengan 69.93 peratus adalah Melayu, Cina (14.94 peratus), India (14.18 peratus) dan selebihnya bangsa lain. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan