Kamilia Tewas Bukti Dipinggir Rakyat

Diterbitkan: Isnin, 6 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Terbukti benar apa yang dikatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa anggota Umno yang meninggalkan perjuangan dan parti akan 'dipinggirkan' rakyat, apabila bekas Naib Ketua Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim kalah teruk bertanding kerusi parlimen Kuala Kangsar.

Kamilia, 61, hanya memperoleh 447 undi manakala calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Mohammad Khair-Il Anuar Wan Ahmad memperoleh 14,218 undi dan calon PAS Khalil Idham Lim Abdullah (PAS) pula meraih 13,136 undi pada pilihan raya umum ke-13 semalam.

Presiden Umno itu berkata sejarah memperlihatkan bahawa perjuangan dalam parti lebih besar daripada kepentingan mana-mana individu.

"Sejarah membuktikan pengasas Umno Allahyarham Datuk Onn Jaafar meninggalkan Umno dan menubuhkan Parti Negara tapi akhirnya apa? Akhirnya rakyat menolak pemimpin yang mengasaskan Umno (itu) kerana mereka tahu kalau individu tiada, tapi parti ada dan berkuasa, perjuangan masih boleh diteruskan," katanya.

Pada hari penamaan calon bagi PRU13, Kamilia membuat kejutan apabila mengemukakan borang pencalonan sebagai calon Bebas di kawasan parlimen itu.

Sebelum itu Kamilia menolak tawaran menjadi calon bagi kerusi dewan undangan negeri (DUN) Perak kawasan Bukit Chandan yang ditawarkan oleh Najib.

Semasa tempoh berkempen, jentera pilihan raya Kamilia hanya dibantu oleh anggota keluarganya, sekaligus menunjukkan anggota akar umbi BN menolak tindakannya itu. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan