Mukhriz, Mat Sabu Antara Tumpuan Di Kedah

Diterbitkan: Ahad, 5 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

HARI ini satu lagi detik bersejarah bakal direkodkan apabila rakyat Malaysia akan membuat keputusan memberi mandat baru kepada parti politik tertentu bagi membentuk sebuah kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri.

Kedah tidak terkecuali dianggap antara negeri yang menjadi perhatian banyak pihak khususnya mengenai percaturan sama ada kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan PAS berjaya mengekalkan penguasaan di negeri ini ataupun sebaliknya.

Negeri 'jelapang padi' ini menawarkan 15 kerusi Parlimen dan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan jumlah pengundi seramai 1,041,068 orang.

Masyarakat Melayu merupakan kaum majoriti di Kedah iaitu seramai 76.40 peratus diikuti Cina (15.31 peratus), India (6.77 peratus) dan lain-lain seramai 1.52 peratus.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) ini, enam kerusi di Kedah dilihat menjadi tumpuan apabila ia ditandingi oleh nama-nama besar yang mewakili parti politik masing-masing.

Tumpuan ini terarah kepada enam kerusi yang ditandingi calon heavy weight bagi setiap parti kerana ia secara tidak langsung akan menjadi kayu ukur kepada tahap kekuatan mereka di peringkat kepimpinan organisasi politik.

Ayer Hitam

Menjengah ke kem Barisan Nasional (BN), pastinya calon bagi kerusi DUN Ayer Hitam, Datuk Mukhriz Mahathir dianggap calon popular di pihak parti itu ekoran cakap-cakap kononnya beliau bakal diangkat sebagai Menteri Besar sekiranya BN berjaya menawan Kedah.

Mukhriz yang berpindah kerusi daripada Parlimen Jerlun yang dimenanginya pada 2008 bakal berhadapan dalam saingan dua penjuru menentang Abdul Ghani Ahmad daripada PAS.

Untuk rekod, pada PRU-12 Mukhriz berjaya memenangi Parlimen Jerlun dengan majoriti 2,205 undi.

Alor Setar

Tumpuan juga pastinya diberikan kepada orang kuat MCA, Datuk Chor Chee Heung yang menghadapi saingan empat penjuru di Parlimen Alor Setar.

Naib Presiden MCA itu berentap untuk mempertahan kerusi yang dimenanginya sejak lima penggal lalu buat kali keenam menentang Gooi Hsiao Leung daripada PKR, Abdul Fisol Mohd Isa (Berjasa) dan Jawahar Raja Abdul Wahid daripada Parti Bersatu Sasa Malaysia (Bersama).

Pada PRU 2008, Chor yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menang dengan majoriti 216 undi.

Pendang

Jika beralih ke benteng pertahanan PAS, tentunya nama Mohamad Sabu atau lebih dikenali dengan panggilan 'Mat Sabu' menjadi antara calon yang sering mendapat tepukan paling gemuruh setiap kali namanya diumumkan dalam setiap ceramah yang dihadirinya.

Kali ini Timbalan Presiden PAS itu mencuba nasib di kerusi Parlimen Pendang menentang calon lama BN, Datuk Othman Abdul.

Saingan di kerusi ini agak panas kerana lawan Mat Sabu itu dilihat bukan calang-calang orang kerana Othman dilabel sebagai calon yang dekat di hati pengundi Pendang.

Pada 2008, Mohamad tewas di Kuala Terengganu kepada bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail dan Maimun Yusuf.

Mohamad tewas di tangan Razali dengan majoriti 628 undi.

Pokok Sena

Beralih ke bahagian utara Kedah, seorang lagi calon popular PAS iaitu Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar bakal berentap menentang wakil BN, Datuk Shahlan Ismail.

Mahfuz akan mempertahankan kerusi yang dimenanginya itu pada PRU 2008 dengan majoriti 5,731 undi.

Mahfuz sebelum itu sudah bertapak sebagai Ahli Parlimen Pokok Sena selepas memenangi PRU 1999.

Bagaimanapun kerusi berkenaan beralih tangan kepada wakil BN pada 2004 apabila Mahfuz tewas kepada Datuk Abdul Rahman Ibrahim dengan majoriti 7,300 undi.

Kulim-Bandar Baharu

Memasuki zon selatan Kedah, kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu turut mencuri perhatian apabila persaingan di kerusi berkenaan membabitkan pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Setiausaha Agung PKR itu akan menentang Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir daripada BN.

Lebih menarik, Saifuddin dianggap calon 'payung terjun' di kawasan itu kerana pada 2008 beliau menang di Parlimen Machang di Kelantan.

Bagaimanapun anak kelahiran Kedah itu pernah bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Lunas, Kedah November 2000 dan menang.

Padang Serai

Selain itu PKR turut mempertaruhkan seorang lagi orang kanannya bersaingan dalam perebutan lima penjuru di kerusi Parlimen Padang Serai.

Naib Presiden PKR, N. Surendran berhadapan dengan calon BN yang juga bekas timbalan menteri, Datuk Heng Sai Khee; Hamidi Abu Hassan (Berjasa) dan dua calon Bebas, Othman Wawi termasuk penyandang Parlimen tersebut, N Gobalakrishnan.

Walaupun pertama kali mencuba nasib, peguam muda itu pastinya akan memberi saingan sengit di kerusi yang dimenangi Gobalakrishnan atas tiket PKR pada 2008.

Pada pilihan raya ketika itu, Gobalakrishnan menang dengan majoriti 11,738 undi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan