Kurang 12 Jam, Pesta Kempen Saat Akhir

Diterbitkan: Ahad, 5 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Salah seorang penduduk di Muar sanggup berdiri di tengah panas sambil memegang poster calon.
Salah seorang penduduk di Muar sanggup berdiri di tengah panas sambil memegang poster calon.

MUAR: Kurang daripada 6 jam sahaja lagi tamatnya tempoh kempen yang sudah berlangsung sejak 20 April lalu, kesemua parti menggunakan baki masa yang ada sebaik-baiknya untuk meraih undi akhir.

Tinjauan yang dibuat di bandar Segamat, Muar dan Batu Pahat menyaksikan kereta-kereta membawa bendera bendera besar parti mengelilingi kawasan masing-masing dengan laungan dan bunyi hon serta 'vuvuzuela'.

Ada juga yang sanggup berdiri di bawah terik matahari di tengah bulatan dan simpang-simpang yang sesak sambil mengantung poster gambar calon masing-masing di leher.

Sementara jalan-jalan utama selepas keluar daripada Tol Tangkak menghala ke Muar, Batu Pahat dan Segamat sesak seperti yang berlaku pada setiap kali waktu perayaan.

Orang ramai yang sempat ditemui mStar Online turut tidak sabar untuk membuang undi pada Ahad bagi memberi kepercayaan kepada wakil rakyat di kawasan mereka.

Seorang penduduk, Syukri Atan, 30, berkata situasi seperti ini hanya berlaku lima tahun sekali dan ia merupakan tarikh penting bagi menentukan kerajaan.

"Saya tidak nampak apa-apa pergaduhan, walaupun kita dalam keadaan menentukan kerajaan tapi kita masih lagi hidup secara aman dan harmoni," ujarnya.

Bagi Ramlah Ismail, 23, mengambil peluang mengundi untuk bertemu keluarga dan sanak saudara di kampung halaman.

"Ini kali pertama saya mengundi jadi rasa sangat teruja menunggu esok (Ahad), lagi pula semua adik beradik dan sanak saudara saya balik untuk mengundi," katanya.

Bagi Johan Ramli, 36, menganggap PRU-13 ini adalah paling meriah berbanding sebelum ini dan berharap tiada sebarang kekecohan berlaku yang menjejaskan keamanan daerah ini.

"Kali ini paling meriah, banyak bendera dan semangat orang ramai juga dilihat sangat membara berbanding tahun 2008.

"Saya berharap tidak ada apa-apa kekecohan dan huru hara berlaku selepas penentuan kemenangan nanti," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan