DAP Beri Harapan Palsu Akan Jadi Taiko Sedangkan Tanding Hanya 50 Kerusi Parlimen

Diterbitkan: Ahad, 5 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek meminta para pengundi Cina supaya berfikir secara rasional iaitu hakikat jika DAP menang kesemua kerusi yang ditandingi mereka sekali pun tidak cukup untuk menjadi “king maker” dalam negara ini.

Melainkan di Pulau Pinang, katanya, di negeri-negeri lain dan di seluruh negara, DAP tidak boleh menjadi pemimpin kerana jumlah kerusi yang mereka tandingi tidak mencukupi untuk mereka menjadi penentu kuasa.

Sebagai contoh katanya, di seluruh negara, DAP hanya bertanding maksimum 50 kerusi parlimen daripada 222 kerusi yang ditawarkan dan jika mereka menang kesemua 50 kerusi itu pun masih tidak memadai untuk mereka menjadi kuasa penentu dalam pemerintahan negara ini.

Menurut Dr Chua lagi di Johor misalnya, daripada 56 kerusi negeri, DAP hanya bertanding 15 kerusi. Itu tidak memadai untuk mereka menjadi “taiko” atau abang besar dalam pakatan.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan penaikkan taraf Kolej Tunku Abdul Rahman kepada kolej universiti di sini, Khamis.

Dalam hubungan ini Dr Chua menegaskan, DAP hanya tahu menaikkan semangat yang tidak bertempat di kalangan masyarakat Cina yang tidak bersandarkan realiti politik negara ini.

Ini katanya hanya akan menjurus ke arah keresahan dan harapan palsu.

DAP katanya lagi hanya pandai menyeronokkan perasaan masyarakat Cina yang kononnya mereka akan menjadi penentu kuasa yang besar seandainya pakatan menang.

“Ini semua tidak langsung bersandarkan kepada realiti politik yang sebenar tetapi sebaliknya akan membawa kepada konflik sekiranya rakyat tidak berhati-hati dan termakan kata-kata mereka,” tegas beliau sambil menambah yang akan menjadi taiko adalah PAS dan bukannya DAP.

Masyarakat Cina jelas Dr Chua terpedaya dengan cakap-cakap bahawa ini adalah masanya mereka mampu menumbangkan kerajaan yang sedia ada tanpa menyedari untuk membentuk kerajaan, mana-mana parti bukan Melayu memerlukan sokongan padu parti-parti Melayu dan juga India.

Beliau turut membidas DAP kerana cuba mengelirukan orang ramai dengan meletakkan iklan di akhbar-akhbar Cina dengan kata-kata, “Satu Undi Untuk MCA Adalah Satu Undi Untuk Umno dan Perkasa”.

“MCA dan Umno tiada kaitan dengan Perkasa,” katanya.

Kepada soalan, bagaimana dengan Naib Presiden Perkasa, Datuk Zulkifli Noordin yang bertanding atas tiket BN di Shah Alam, Dr Chua berkata, seorang wakil Perkasa tidak mencerminkan Barisan Nasional secara keseluruhannya.

“MCA memang tidak setuju dengan Perkasa tetapi dalam kes calon Shah Alam, dia telah mengaku yang dia mengamalkan politik ekstrem ketika di dalam PAS tetapi selepas dia menyertai Barisan, dia telah membuat permaafan secara terbuka. Bila seseorang membuat pengakuan secara terbuka dan memohon maaf, kita patut menerimanya dengan hati yang terbuka. Mana-mana agama pun menyuruh kita berbuat demikian (menerima maaf seseorang),” ujarnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan