Muhyiddin Bersarapan Bersama Penduduk Kebun Baru

Diterbitkan: Sabtu, 4 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LEDANG: Tan Sri Muhyiddin Yassin memulakan hari terakhir berkempen dengan bersarapan pagi di medan selera Gerai Kebun Baru bersama penduduk di sini.

Ketibaan Timbalan Perdana Menteri pada 9.20 pagi menaiki helikopter di yang mendarat di perkarangan Balai Polis Kebun Baru yang terletak berhadapan medan selera itu menarik perhatian penduduk yang berpusu-pusu menyambut beliau.

Kira-kira 200 penduduk yang majoritinya masyarakat Cina dilihat begitu bersemangat mendengar amanat terakhir Muhyiddin dan menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada BN.

Dalam ucapan ringkasnya, beliau berharap rakyat tidak terpengaruh dengan usaha terakhir pembangkang memburuk-burukkan BN.

"Sokongan rakyat nampaknya masih kukuh walaupun pembangkang memburukkan B Ndan saya yakin rakyat tidak terpengaruh," katanya.

Muhyiddin yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh berkata beliau khuatir DAP yang membangkitkan sentimen perkauman akan menjejaskan hubungan baik antara pelbagai kaum di negara ini.

"Dah lama kita tinggal di Malaysia dan kita tahu Melayu, India, Cina dan Orang Asli di tempat ini (Pagoh) duduk bersama tanpa ada curiga, tanpa ada masalah," katanya.

Mengenai pembangunan di Kebun Baru, beliau berkata kemudahan asas dan infrastruktur di kawasan itu akan ditingkatkan termasuk rumah, sekolah dan ruang perniagaan.

Turut hadir calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Serampang Ismail Mohamed. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan