Bahasa Melayu Mampu Diangkat Ke Bidang Profesional - Rais

Diterbitkan: Jumaat, 3 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim menolak tanggapan sesetengah pihak kononnya Bahasa Melayu tidak sesuai diangkat untuk subjek teknikal atau bidang profesional.

Beliau berkata Bahasa Melayu pada hakikatnya boleh berada di tahap itu sekiranya ia disertai kelengkapan dan kemudahan yang cukup selain penggunaannya diwajibkan di bidang profesional.

"Saya tidak setuju jika kita kata Bahasa Melayu tidak boleh berada di tahap teknikal, sebenarnya boleh. Lantaran kita tidak mempunyai cukup fasiliti atau kemudahan terjemahan, maka kita tidak dapat bergerak sedemikian.

"Kedua, kita tidak mewajibkan Bahasa Melayu dalam bidang kejuruteraan, perubatan, bidang teknologi yang rumit misalnya teknologi nano...Ini semua sebenarnya boleh diatasi sebab Bahasa Jepun, Korea dan Mandarin misalnya sudah berjaya, kenapa tidak Bahasa Melayu," katanya.

Rais berkata demikian ketika ditemu ramah Radio24 Bernama dalam program 'Mentari Minda' yang dikendalikan penyampai Shuhadah Armawan di sini Jumaat.

Mengiringi beliau untuk temu ramah 15 minit itu ialah Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf.

Rais menarik perhatian kepada usaha mengangkat martabat Bahasa Melayu, melalui pelbagai kempen dan saluran yang digunakan kementerian itu termasuk bantuan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), penterjemah dan penulis di negara ini.

Beliau menegaskan isu bahasa bukan perkara remeh sebaliknya soal pokok yang perlu diberi keutamaan kerana bahasa menjadi cermin kepada tamadun manusia selain mampu menyatukan masyarakat.

"Kenapa Inggeris gagah? Mereka gagah bukan sebab senapang atau meriam tapi oleh kerana bahasa mereka telah dikomersil dan diantarabangsakan, diteknikal dan dicantikkan menerusi penulisan William Shakespeare dan sebagainya.

"Tetapi kita lebih seronok mencacamarbakan bahasa kita, kita lebih suka mengatakan kita tidak boleh berteknikal dalam Bahasa Melayu sebab ia tidak berkemampuan sedangkan itu semua ialah hujah yang mengalah," katanya.

Rais menekankan bahawa masyarakat harus sedar dengan kombinasi bahasa yang digunakan di Malaysia dan Indonesia yang dituturkan tidak kurang daripada 300 juta orang, ia wajar menjadi bahasa dunia serta bahasa rasmi di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Menurutnya, kecederungan masyarakat bertutur dengan mencampuradukkan Bahasa Melayu dan Inggeris juga tanpa disedari boleh melenyapkan cara berkomunikasi yang betul, menghilangkan budaya bangsa, menyebabkan perbendaharaan kata menjadi semakin terhad dan akhirnya dilabelkan sebagai orang yang berbahasa pinjaman.

"Tidak seorangpun orang Melayu boleh meremehkan Bahasa Melayu...sekiranya kita terus merasa segan (menggunakan Bahasa Melayu) dan tiada dorongan yang kuat untuk mengangkat bahasa kebangsaan ini, kita akan sentiasa berada pada takuk biasa tanpa pembaharuan," tegas Rais. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan