PMO, MAS Nafi Dakwaan Pembangkang, Penerbangan Ditempah Untuk Bawa Masuk Pengundi

Diterbitkan: Khamis, 2 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Khamis menafikan sebarang penglibatan berhubung dakwaan Pakatan Rakyat bahawa rakyat Malaysia dan juga warga asing diterbangkan ke semenanjung untuk mengundi pada pilihan raya umum, Ahad ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan ringkas menjelaskan: "Pejabat Perdana Menteri menafikan sebarang pembabitan berhubung penerbangan seperti ini."

"Suruhanjaya Pilihan Raya telah bertungkus lumus memastikan bahawa sistem pilihan raya lebih kukuh daripada sebelum ini, dan pilihan raya adalah bebas dan adil."

Sementara itu, Malaysia Airlines (MAS) turut menafikan dakwaan bahawa syarikat berkenaan terlibat dalam mengatur penerbangan yang ditempat khas untuk membawa pengundi hantu pada Pilihan Raya Umumm, 5 Mei ini.

"Malaysia Airlines ingin menjelaskan bahawa semua penerbangan yang di tempah dalam sistem pengangkutan dalam negara adalah penerbangan tempahan komersial," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu pada Khamis, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Pejabat Perdana Menteri (PMO) bertanggungjawab menempah penerbangan khas untuk membawa masuk jumlah pengundi hantu yang ramai daripada Sabah dan Sarawak ke Semenanjung Malaysia.

Beliau mendakwa mereka akan dibawa ke pelbagai kawasan sekitar semenanjung untuk membolehkan calon Barisan Nasional menang di kawasan tertentu.

Anwar turut mendakwa dia mempunyai salinan emel perbualan antara pegawai eksekutif tertinggi dalam syarikat penerbangan, yang menunjukkan pegawai yang bekerja di PMO adalah dalang disebalik tempahan penerbangan khas tersebut.

Dalam sidang media di ibu pejabat PKR pada Khamis, Anwar mendakwa penerbangan khas berkenaan yang telah bermula sejak 25 April lalu, dengan sebanyak 16 penerbangan setiap hari.

Mereka berlepas daripada Kuching, Kota Kinabalu, Sandakan, Miri dan Sibu.

"Mengikut perkiraan kita, sebanyak 4,500 orang diangkut dengan menggunakan pesawat setiap hari ke KLIA.

"Ini bermaksud sekurang-kurangnya 40,500 individu mencurigakan telah masuk dan akan masuk mengikut kaedah ini dengan penerbangan khas yang ditempah di KLIA," dakwanya.

Beliau berkata jumlah berkenaan tidak termasuk kemasukan jumlah pelancong yang luar biasa daripada Thailand, Kemboja, Pakistan dan Myanmar melalui Bukit Kayu Hitam serta Indonesia melalui Pelabuhan Klang dan beberapa pintu masuk di kawasan pesisir pantai negara ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan