Enam Yang Mengundi Awal Di Pengkalan Udara Kuching Anggota Tentera, Polis - Polis

Diterbitkan: Khamis, 2 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Enam pengundi yang cuba mengundi awal di Pangkalan Udara Kuching Selasa lepas terdiri daripada anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Kuching dan sedang menjalankan tugas di Labuan.

Pegawai Pentadbiran Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak ACP Azam Abd Hamid berkata mereka balik ke Kuching untuk mengundi awal sedangkan mereka disenarai sebagai pengundi pos.

Oleh itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan anggotanya cuba mengundi awal seperti yang didakwa oleh ejen DAP di pangkalan itu.

"Siasat dan penjelasan daripada pegawai TUDM menunjukkan enam anggota pasukan itu kembali ke kem untuk mengundi berikutan kertas undi pos yang telah dihantar ke Labuan, belum diterima.

"Tiada kekecohan berlaku di pangkalan itu pada hari tersebut dan mereka diarahkan balik ke Labuan tanpa mengundi," katanya pada sidang akhbar di Pusat Media IPK Sarawak di sini hari ini sebagai mengulas laporan akhbar The Sun yang melaporan enam anggota polis cuba mengundi awal pada hari itu.

Azam yang juga jurucakap rasmi polis Sarawak bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) turut menafikan seorang anggota polis didakwa mengundi dua kali di Sri Aman.

Menurutnya siasatan mendapati anggota berkenaan yang baru ditukarkan ke Sri Aman dari Serian telah mengisi borang 1A untuk mengundi pos, dan mendaftar semula sebagai pengundi awal di Sri Aman.

"Semasa hari mengundi awal, nama anggota ini disenarai di pusat mengundi awal dan anggota ini menjalankan tanggungjawabnya mengundi. Anggota itu kemudiannya menerima kertas undi pos daripada formasi lamanya (Serian) dan pegawai bertanggungjawab telah mengembalikan kertas undi pos tanpa dipangkah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya.

"Oleh itu tidak berlaku undi dua kali seperti yang dilaporkan," katanya.

Sementara itu, Azam berkata polis membuat laporan berhubung kes tiga penuntut Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) menyamar sebagai penjawat awam apabila memuat naik video, gambar mereka berpakaian uniform polis dan memegang bendera PAS, dalam laman Youtube.

"Siasatan awal mendapati ketiga-tiga mereka bukan anggota polis mahu pun anggota Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) Unimas. Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau dibuang atau diberhentikan oleh pihak universiti.

"Saya tidak tahu untuk apa tujuan mereka membuat demikian, tetapi gambaran mereka ini adalah seolah-olah polis menyokong parti tersebut. Tindakan ini salah dari segi etika kepolisian mahu pun arahan pentadbiran universiti," katanya.

Azam berkata PDRM sebelum ini telah mengingatkan bahawa polis tidak dilibatkan dalam apa-apa aktiviti mahu pun dipamerkan sebagai memihak atau menyokong sesebuah parti.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan