BN Sudah Lalui Proses Peremajaan - Muhyiddin

Diterbitkan: Khamis, 2 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

DUNGUN: Barisan Nasional telah melalui proses peremajaan dalam pentadbiran yang sihat apabila pimpinan tertinggi negara silih berganti menerajui BN dan kerajaan selama 56 tahun, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata tidak berbangkit istilah tua bagi BN seperti yang didakwa Pakatan Rakyat kerana selama 56 tahun BN bukan dipimpin oleh seorang pemimpin, tapi perdana menteri dan timbalan perdana menteri silih berganti.

"Ini sudah masuk perdana menteri keenam, bermakna proses peremajaan itu sering berlaku dalam BN dan parti komponennya, kita sentiasa muda, berwawasan dan bersemangat," katanya di hadapan kira-kira 10,000 orang yang hadir pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Arena Square di sini, Khamis.

Beliau berkata berbanding pemimpin PR, umur Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ialah 59 tahun, pemimpin PR lebih lama dan lebih berusia seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Karpal Singh, dan Lim Kit Siang.

Sehubungan dengan itu beliau meminta rakyat memberi pertimbangan yang bijaksana dalam memilih parti mana yang mampu membentuk kerajaan yang mantap pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), Ahad ini.

"Sudah tentu dalam memajukan negara BN terbukti mampu membawa negara menjadi lebih berdaya maju dan berjaya dan usaha kita memajukan negara dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan dan sosial dapat kita pikul dengan baik. "Di samping itu negara kita menjadi negara yang disegani dunia, menjadi negara contoh, selamat dan tidak ada pergolakan. Jika ada pertempuran seperti di Lahad Datu, apabila ada pencerobohan asing kita tentang habis-habisan demi menjaga keselamatan rakyat," katanya.

Katanya kerajaan BN juga berusaha sedaya upaya dalam meringankan beban rakyat apabila berlaku peningkatan harga barangan keperluan kesan kejatuhan ekonomi global. "Jika pembangkang kata BN tidak menolong rakyat itu bohong!," tegasnya.

Pada majlis itu Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan yang dikhaskan berjumlah RM13.1 juta bagi membaiki lima buah sekolah kayu di sekitar Dungun.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, calon BN bagi kerusi parlimen Dungun Datuk Rosli Mat Hassan, calon DUN Sura Zakaria Ali, DUN Bukit Besi Rosli Daud, Rantau Abang Datuk Zaabar Mohamed Adib dan Paka Datuk Matulidi Jusoh. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan