Umno Bukan Parti Assabiyah - PM

Diterbitkan: Rabu, 1 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (dua, kiri) menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada, Zauwiah Ibrahim, 54, yang mengidap penyakit angin ahmar pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Mengabang Telipot di Kuala Terengganu pada Rabu. -Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (dua, kiri) menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada, Zauwiah Ibrahim, 54, yang mengidap penyakit angin ahmar pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Mengabang Telipot di Kuala Terengganu pada Rabu. -Foto BERNAMA

KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan Umno bukan parti assabiyah seperti yang didakwa Pakatan Rakyat, walaupun ia berpegang kepada dasar perjuangan kebangsaan.

Perdana Menteri berkata kerajaan tidak pernah menolak Islam dalam pentadbiran negara, malah semangat kebangsaan Umno adalah berteraskan Islam.

"Kebangsaan kita bukan assabiyah. Makna assabiyah itu ialah bila kita berpakat melakukan kerja-kerja yang batil, maknanya berpakat antara satu puak untuk menindas atau menzalimi puak lain, itu assabiyah," katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 6,000 hadirin pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Mengabang Telipot di sini, Rabu.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal dan beberapa calon Barisan Nasional (BN) negeri itu bagi pilihan raya umum ke-13.

Najib, yang juga Presiden Umno, sebelum itu mempersoal kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa sembahyang orang Umno tidak mendapat pahala kerana menolak Islam dan berjuang atas semangat kebangsaan.

"Saya nak tanya Nik Aziz, pahala dosa itu kuasa Mursyidul Am atau kuasa Allah? "Saya percaya ini bukan bidang kuasa manusia, bukan kuasa Mursyidul Am, malah Nabi, Rasul pun tak berani...ini kuasa Allah, itupun dia nak ambil...ini semua kerana politik," katanya.

Nik Aziz baru-baru ini menggunakan statusnya untuk mengeluarkan fatwa bahawa perjuangan Umno bersandarkan assabiyah atau perkauman.

Menteri Besar Kelantan itu mendakwa kerana menganut fahaman ini, maka Umno telah menolak Allah.

Menjelas lanjut isu itu, Najib berkata perjuangan kebangsaan Umno telah membebaskan Malaysia daripada dijajah dan dizalimi oleh British.

Umno hari ini berjuang atas dasar "maqasid syariah", dan ia diakui ulama antarabangsa sebagai antara negara terbaik daripada aspek pematuhan konsep tersebut, katanya. "Apabila dikatakan kita patuh pada maqasid syariah, maknanya kita mempertahankan agama, mempertahankan kalimah Allah.

"Jadi siapa yang cakap berdolak dalih sekarang...ini semua pasal politik, nak cari undi," tempelak Najib.

Beliau menegaskan soal prinsip, agama dan kalimah Allah tidak boleh dipermainkan oleh sesiapa.

Walaupun suaranya semakin serak kerana terlalu banyak bercakap, Perdana Menteri tetap bersemangat meneruskan kempen bagi BN menjelang hari pengundian Ahad ini.

"Walaupun suara saya macam ni, tapi tak apalah, janji BN menang," katanya yang disambut tepukan gemuruh daripada hadirin.

Program itu mengakhiri lawatan Najib di Terengganu sebelum kembali ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Perhimpunan Perdana 50,000 warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan pelancaran Yayasan Destini Anak Bangsa Bersama Perdana Menteri malam ini. -BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan