Parlimen Telok Kemang Dijangka 'Beralih' Kepada BN

Diterbitkan: Rabu, 1 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PORT DICKSON: Pusat peranginan Port Dickson yang sering dibanjiri orang ramai nampak lebih 'meriah' pada musim Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) ini dengan kedatangan jentera dan pasukan parti yang akan bertanding.

Port Dickson atau lebih dikenali sebagai PD di kalangan penduduk tempatan adalah satu daripada lima Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Telok Kemang, selain Chuah, Lukut, Bagan Pinang dan Linggi.

Walaupun Parlimen Telok Kemang, DUN Lukut dan DUN Port Dickson dikuasai Parti Keadilan Rakyat sementara sekutunya dalam pakatan pembangkang iaitu DAP menguasai Chuah, Barisan Nasional (BN) tidak pernah meminggirkan mana-mana kawasan itu dan sentiasa aktif melaksanakan pelbagai projek mensejahterakan rakyat.

Malah usaha mempromosi Port Dickson sebagai destinasi pelancongan terkenal negara dan dunia terus diperkasa dengan membina lebih banyak kemudahan infrastruktur yang juga menguntungkan penduduk tempatan.

Yang DiPertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) Abdul Wahab Shamsuddin berkata, pembangunan paling ketara di sini adalah PD Waterfront dengan jumlah pelaburan RM1 bilion oleh sebuah syarikat hartanah.

Projek itu merangkumi pembangunan pusat komersil, kediaman dan hotel, pendidikan dan kesihatan selain pusat rekreasi yang pastinya membawa perubahan besar terhadap landskap bandar ini.

"Ini juga akan membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk Port Dickson dan negeri ini sekaligus meningkatkan tahap ekonomi penduduk," katanya.

Selain itu, pengisytiharan Port Dickson sebagai Bandar Tentera Darat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2009, juga membawa impak positif terhadap daerah ini.

Bagi mensejahterakan rakyat, pelbagai projek pembangunan dan baikpulih turut dilaksanakan dari semasa ke semasa termasuk melebarkan jalan raya.

Sementara itu, calon BN bagi Parlimen Telok Kemang Datuk V.S Mogan berkata, pihaknya yakin Parlimen Telok Kemang akan kembali kepada BN dalam PRU13 ini kerana rakyat tidak lagi percaya dengan janji yang dibuat pembangkang.

Selain itu, katanya, tiga DUN yang dikuasai pembangkang iaitu Chuah, Lukut dan Port Dickson turut mempunyai peluang sama untuk kembali kepada BN selepas pengundi di kawasan berkenaan dikatakan tidak berpuas hati dengan perkhidmatan wakil rakyat mereka.

"Saya harap pengundi pada PRU kali ini dapat memilih calon yang benar-benar layak untuk menjadi wakil rakyat mereka dan tidak mengulangi kesilapan pilihan raya umum 2008," katanya.

Bagi kerusi Parlimen Telok Kemang, pada PRU13 Mogan akan berdepan penyandang Datuk Kamarul Baharin Abbas, iaitu pengerusi perhubungan PKR negeri dan seorang calon bebas iaitu Datuk Seri Kamarul Kumaravel Abdullah.

Melihat sentimen semasa di kawasan Parlimen itu, BN mempunyai kelebihan untuk merampas semula kerusi itu khasnya memandangkan Kamarul Baharin menghadapi tentangan dalaman. Parlimen Telok Kemang mempunyai 70,524 pengundi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan