Najib Tiba Di Terengganu, Beri Semangat Kepada Jentera BN - Berita Semasa | mStar

Najib Tiba Di Terengganu, Beri Semangat Kepada Jentera BN

Diterbitkan: Rabu, 1 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini pada Rabu sebagai sebahagian daripada program lawatan ke negeri-negeri bagi memberi semangat kepada jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya umum 5 Mei ini.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri, isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan anak perempuannya Nooriyana Najwa, mendarat di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu pada 9.15 pagi.

Turut berada di lapangan terbang untuk menyambut ketibaan Perdana Menteri ialah Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan isteri Toh Puan Seri Nurliza Mahmud serta barisan pimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri.

Sejurus tiba, Najib terus ke Kampung Bukit Wan bagi menyempurnakan majlis penyampaian Anugerah Desa Cemerlang Peringkat Kebangsaan Tahun 2012 di Kampung Bukit Wan.

Pada sebelah tengah hari Najib dijadual menghadiri majlis bersama anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) negeri Terengganu di Taman Tamadun Islam sebelum menghadiri majlis sepetang bersama rakyat serta menyampaikan sumbangan bantuan nelayan di padang berhampiran Masjid Mengabang Telipot, Kuala Nerus.

Najib juga akan melawat pusat rehabilitasi 1Malaysia, Bangunan Penyelaras UMNO, Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Kampung Telaga Daing di Kuala Terengganu.

Najib dijadual pulang ke ibu negara lewat petang Rabu. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan