Kulim-Bandar Baharu: Pertembungan Antara Dua Tokoh Muda Yang Seangkatan & Yang Terbaik

Diterbitkan: Rabu, 1 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution

SESUATU yang menjadi kebimbangan dalam sesebuah peperangan ialah apabila pihak lawan lebih cenderung mengambil langkah menyerang secara senyap melalui gerakan bawah tanah.

Perihal yang sama dikesan berlaku dalam misi pakatan pembangkang mengekalkan penguasaan mereka sejak sepenggal yang lalu di kerusi Parlimen Kulim Bandar-Baharu.

Panglima perang dalam misi yang diketuai orang kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail itu dilihat mempunyai strategi tersendiri terutama dalam melakukan serangan terhadap Barisan Nasional (BN).

Saifuddin yang berpindah kerusi daripada Parlimen Machang, Kelantan berhadapan dalam saingan satu lawan satu dengan salah seorang dalam keluarga besar politik Malaysia iaitu Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir.

Keluarga Aziz tidak asing lagi dalam politik tanah air. Abang sulungnya, Kadir Sheikh Fadzir adalah bekas ketua bahagian, ahli Majlis Tertinggi Umno dan bekas menteri persekutuan. Abangnya seorang lagi Musa adalah ketua Umno Bahagian Bukit Mertajam dan kini timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri P.Pinang.

Aziz sendiri di samping pernah menjadi ahli Dewan Undangan Negeri pernah juga menjadi exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dan kini adalah ahli Majlis Tertinggi Umno.

Setelah tewas di kerusi yang sama pada 2008, kini diberi kepercayaan kali kedua untuk menggempur kubu baru pakatan pembangkang di situ.

Sementara Saifuddin pula walaupun sebelum ini mewakili kerusi parlimen Machang tetapi barang diingat, beliau pernah bertanding kerusi DUN Lunas dalam pilihan raya kecil dan menang.

Beliau juga adalah anak jati Kedah dan kali ini ibarat sireh pulang ke gagang - bertanding untuk mempertahankan maruah PKR selepas wakil asal mereka, Datuk Zulkifli Noordin mengisytiharkan dirinya calon Bebas selepas berbalah dengan Anwar Ibrahim dua tahun lalu.

Tetapi satu fakta yang menarik tentang Aziz dan Saifuddin ialah kedua-dua mereka adalah sahabat karib dan pernah duduk dalam saf kepimpinan yang sama ketika dalam Pergerakan Pemuda Umno Malaysia dahulu.

Kebetulan pula, Saifuddin menyandang jawatan setiausaha pergerakan itu di bawah kepimpinan Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Aziz dan Saifuddin sendiri mengakui hakikat yang mereka masih mengekalkan persahabatan yang telah terjalin sejak sekian lama itu walaupun masing-masing kini di atas pentas politik yang berbeza.

Apakah kerana itu juga maka kita dapati tidak berlaku persaingan dan 'pergelutan' yang panas di Kulim-Bandar Baru demi menjaga nilai persahabatan di antara dua tokoh muda seangkatan ini?

Perang

Secara psikologi penilaian dari sudut 'perang bendera' sememangnya tidak menggambarkan situasi sebenar mengenai corak aliran sokongan pengundi.

Penulis sendiri sukar mendapatkan bacaan yang tepat mengenai tahap sokongan pengundi sama ada mereka mahu kekal di bawah penguasaan pembangkang ataupun kembali ke pangkuan BN.

Rekod Pilihan Raya Umum 2008 menyaksikan BN tewas 0-3 di tangan PKR dan PAS yang menguasai kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kulim dan Bandar Baharu.

Pada 2008, kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu dimenangi Datuk Zulkifli Noordin yang mewakili PKR dengan majoriti besar iaitu 5,583 undi. Beliau mengalahkan calon BN, Abdul Aziz.

Begitu juga di DUN Kulim, BN yang diwakili Lim Lee Choo ditewaskan oleh Lim Soo Nee daripada PKR dengan majoriti 1,244 undi.

PAS turut mencatat kemenangan yang baik di DUN Bandar Baharu apabila wakilnya, Yaakub Hussin menggagalkan usaha BN yang diwakili Exco Kerajaan Negeri, Datuk Azimi Daim apabila memperoleh majoriti 1,849 undi.

Gerakan Bawah Tanah

Adalah sangat membimbangkan di pihak BN apabila jentera parti itu sendiri menimbulkan kerisauan mengenai strategi lawan mereka.

Kata mereka langkah bergerak secara senyap yang digunapakai Pakatan Rakyat di Kulim-Bandar Baharu mendatangkan banyak tanda tanya mengenai kekuatan pihak musuh.

Menurut mereka, PKR-PAS seakan menggunakan strategi gerakan bawah tanah untuk mendekati pengundi apabila jentera kedua-dua parti itu dilihat tidak begitu agresif berbanding apa yang dilakukan BN.

"Susah nak dijangka (kekuatan PKR-PAS). Tapi di pihak BN kami bergerak secara berkelompok dari rumah ke rumah mendekati pengundi bagi mendapatkan sokongan. Alhamdulillah positif.

"Tapi puak sebelah sana (PKR-PAS) kami tak nampak. Pelik juga sebab depa (mereka) nampak macam slow. Tu yang kami risau takut-takut depa gerak bawah tanah secara halus," kata salah seorang jentera BN ketika ditemui sewaktu berkempen di Kampung Padang Tembak, Kulim baru-baru ini.

Jentera BN akui hakikat ini dan mereka memandang serius kerana kemungkinan gerakan secara senyap itu benar-benar wujud. Apatah lagi tiada program besar yang dianjurkan oleh PR di sini.

Dengan jumlah pengundi yang besar iaitu seramai 60,910 orang di Kulim-Bandar Baharu, ramai yang tertanya-tanya bagaimanakah mereka berkempen secara senyap dari rumah ke rumah dalam tempoh beberapa hari ini.

Komposisi pecahan pengundi Parlimen Kulim-Bandar Baharu terdiri daripada 68.17 peratus adalah orang Melayu, 19.19 peratus (Cina), 12.43 peratus (India) dan lain-lain kaum sebanyak 0.21 peratus.

Apa yang mStar Online difahamkan, jentera PR diarahkan untuk menemui seberapa ramai pengundi dalam tempoh yang ada bagi menyampaikan mesej agar terus memberi undi kepada Pembangkang.

Menurut mereka, strategi berkenaan lebih berkesan dengan memberi tumpuan kepada kumpulan sasar dalam usaha menyalurkan maklumat melalui pengedaran risalah termasuk berunsur propaganda.

Waspada

Bagi penulis sendiri, BN tidak boleh mengambil mudah mengenai pendekatan yang digunakan Saifuddin walaupun beliau selaku setiausaha agung PKR, berkempen di seluruh negara untuk partinya dan tidak tertumpu kepada Kulim-Bandar Baharu semata-mata.

Pada dasarnya, di kalangan pengundi sendiri, mereka sudah mengenali Abdul Aziz berbanding pada 2008 apabila beliau bertanding buat pertama kali di Kulim-Bandar Baru.

Mengundi Aziz bererti mengundi kepada establishment dan kemajuan kerana beliau adalah calon berpotensi untuk dilantik sebagai salah seorang anggota jemaah menteri sekiranya BN kembali berkuasa.

Beliau mempunyai kelayakan akademik, pengalaman dan telah melalui proses sepak terajang dan jatuh bangun dalam politik. Malah beliau telah melalui proses perkaderan politik melalui kilang latihan Pemuda.

Bagaimanapun, pada masa yang sama aura dan kehebatan Saifuddin berpidato dan kedudukannya sebagai orang penting PKR di pusat tidak boleh dipandang ringan dan enteng begitu sahaja.

Kedua-duanya ada bakat, ada kebolehan, ada kelayakan dan ada pengaruh yang besar dalam politik.

Hanya pengundi yang mampu menentukan siapakah di antara mereka yang layak diangkat sebagai wakil rakyat. Pilihlah yang terbaik di antara yang terbaik.

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Isnin, 14 Ogos 2017 12:30 PM

“Mira Filzah Lemah Lembut” - Zizan Razak

Kolumnis

iklan

Iklan