BN Tidak Terlibat Pasang Banner Kempen Melampau - Tengku Adnan

Diterbitkan: Rabu, 1 Mei 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Muhammad Khairul Hafiz Abdullah (kiri) bersama calon Barisan Nasional (BN) Parlimen P125 Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menunjukkan salinan laporan polis dan gambar menunjukkan bendera, manifesto dan wang setelah sekumpulan pihak yang tidak dikenali datang ke rumahnya untuk memujuk beliau supaya membenarkan jarinya dicalit dengan dakwat atas alasan untuk memudahkan proses pengundian Ahad ini ketika di Presint 9 di Purajaya pada Rabu.-Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menafikan sekerasnya dakwaan kononnya ia menerbit, mencetak serta memasang banner kempen yang melampau dan tidak bertanggungjawab.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini berkata pemasangan banner tersebut bermotif fitnah dan memburuk-burukkan BN di mata penganut agama Kristian di Malaysia.

Tanpa menjelaskan bentuk banner yang dimaksudkan, beliau berkata tindakan itu bertujuan memecahbelahkan perpaduan dan mengganggu-gugat keharmonian antara agama yang selama ini terpelihara dengan baik oleh BN, katanya dalam kenyataan akhbar.

Tengku Adnan menegaskan BN tidak pernah dan tidak akan menerbitkan bahan kempen yang boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan antara kaum di Malaysia kerana BN sendiri gabungan berteraskan perpaduan dan keharmonian bangsa dan agama.

BN juga mengutuk sekerasnya tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu serta memohon kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memantau bahan kempen yang bersifat melampau dan berlandaskan fitnah ini agar diturunkan segera untuk mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku. Kata Tengku Adnan, BN kesal dan kecewa dengan pihak tidak bertanggungjawab yang mendokong amalan politik kotor serta berharap setiap parti tidak menggunakan taktik kotor yang tidak bermoral untuk memenangi pilihan raya.

Pihak yang mempunyai sebarang maklumat mengenai penyebaran banner tersebut juga dialu-alukan untuk tampil ke hadapan.

BN memohon jasa baik seluruh warga Malaysia supaya tidak terlibat dalam mana-mana aktiviti politik kotor sepanjang tempoh berkempen demi memastikan proses pilihan raya dapat dijalankan dengan aman dan harmoni.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan