Pembangkang Tidak Layak Peluang Kedua - PM

Diterbitkan: Selasa, 30 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Pembangkang tidak boleh bermegah dan berbangga dengan usaha membela rakyat versi mereka kerana dalam tempoh lima tahun lepas, 'pakatan' itu hanya melaksanakan 15 peratus daripada janji mereka dalam manifesto pilihan raya umum 2008, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri menegaskan bahawa pembangkang yang merangkumi PAS, DAP dan PKR hanya pandai menabur janji tetapi gagal menunaikannya termasuk di negeri-negeri yang dikuasai mereka seperti Kedah.

Justeru, beliau berkata sudah tiba masanya bagi rakyat di seluruh negara menolak pembangkang pada pilihan raya umum ke-13, Ahad ini.

"Pada 2008, kita (rakyat) termakan dengan janji (pembangkang), takkan kita nak termakan lagi dengan janji mereka (kali ini). Takkan kita nak bagi peluang serta ruang kedua kepada mereka," katanya ketika berucap merasmikan Sekolah Kebangsaan Taman Awana di Pokok Sena dekat sini Selasa.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Pokok Sena, Datuk Shahlan Ismail.

Ini berbeza dengan BN yang mampu melaksanakan janji, kata Najib sambil menegaskan bahawa gabungan itu akan terus mengotakan janji apabila diberi kepercayaan mentadbir di peringkat nasional dan negeri. Perdana menteri berkata oleh sebab itu jugalah BN menggunakan terma 'aku janji' kerana parti itu akan menunaikan apa yang dijanjikan kepada rakyat. "Pembangkang kata manifesto bukan janji...kalau bukan manifesto kenapa bentang manifesto, buat habis beras sahaja. Sebab itu, kita (BN) tidak hanya pakai (guna) manifesto kerana pembangkang sudah cemar (perkataan) manifesto.

"Kita pakai aku janji...janji kepada manusia dan lebih tinggi lagi janji kita diadili Allah. Sebab itu saya kata hari ini lebih baik daripada semalam, hari esok akan penuh dengan harapan dan sinaran," katanya. Najib memberi komitmen bahawa kerajaan BN akan terus membawa rakyat Malaysia kepada masa depan yang jauh lebih baik jika ia terus diberi mandat memimpin negara.

Najib berkata pelbagai inisiatif yang diperkenal kerajaan BN seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ialah bukti kepada pencapaian parti itu dalam menunaikan janji dan membawa kemajuan kepada rakyat.

Beliau berkata inisiatif itu memperlihatkan bahawa program transformasi nasional yang diperkenal kerajaan BN lebih baik daripada 'laungan reformasi' yang dibawa pembangkang.

Perdana menteri berkata rakyat sudah sedar bahawa 'reformasi' hanya dikaitkan, antaranya dengan demonstrasi jalanan yang tidak memberi apa-apa makna menyebabkan 'laungan' itu tidak lagi mendapat sambutan sekarang.

Beliau berkata sebelum ini kerajaan BN ada melakukan kesilapan tetapi telah belajar dan tidak akan mengulanginya dalam membela rakyat dan membawa pembaharuan kepada negara.

Bagi memastikan Malaysia terus maju dan berjaya, Najib menjelaskan rakyat perlu memilih individu yang mempunyai wawasan untuk negara.

"Bukan setakat ada wawasan tetapi perancangan yang teliti dan sistematik. Pilih juga orang yang mampu laksana pembaharuan. Bukan orang yang buat janji kosong," kata Najib.

Dalam pada itu, beliau berkata pembinaan sekolah di seluruh negara serta penyediaan sukatan pelajaran dilakukan kerajaan bertujuan mendidik anak-anak supaya menjadi insan berguna.

"Kita bina sekolah supaya anak-anak ada akhlak yang baik, ikut undang-undang, hormat orang tua, orang seagama dan bukan Islam...bukan memaki hamun yang boleh merosakkan nilai masyarakat.

"Sebuah negara (menjadi) maju bukan dengan adanya bangunan-bangunan tetapi (warganya) ada akhlak yang baik. Sebab itu kita nak lakukan transformasi," katanya.

Najib menarik perhatian bukti kerajaan BN melakukan transformasi kepada negara adalah melalui pembinaan sekolah yang 'indah', malah daripada pemerhatiannya, sesetengah sekolah di Malaysia dianggap seperti universiti oleh banyak negara sedang membangun lain.

SK Taman Awana dibina dalam Rancangan Malaysia Ke-10 dengan kos RM13.2 juta dan mula beroperasi pada 2009.

Sekolah yang mempunyai empat blok itu dibangunkan di kawasan seluas 4.32 hektar di Mukim Hutan Kampung dalam daerah Kota Setar. -BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan