BN Punya Peluang Cerah Tawan Semula Parlimen Batu Kawan

Diterbitkan: Selasa, 30 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUKIT MERTAJAM: Penduduk di Batu Kawan mahu mengembalikan semula sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) sekali gus memberi harapan cerah kepada BN memenangi semula kerusi parlimen itu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan penduduk di kawasan itu 'bosan' dengan sikap bekas wakil rakyat mereka daripada pembangkang yang tidak pernah mempedulikan masalah penduduk di kawasan itu.

Seorang penduduk Fuziah Hassan, 41, berkata pembangunan yang ada di kawasan Batu Kawan adalah hasil usaha pemimpin BN yang sentiasa menjaga kebajikan serta prihatin dengan keperluan rakyat.

"Di sini ada Taman Sains Teknologi berdekatan dengan stadium serta pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang secara tidak langsung dapat menjana ekonomi penduduk tempatan dengan wujudnya peluang pekerjaan baharu dan semuanya itu dilakukan oleh kerajaan BN," katanya.

Beliau berkata setelah penduduk kawasan itu memberikan undi kepada pembangkang pada pilihan raya umum lepas, wakil rakyatnya Dr P. Ramasamy tidak pernah berbuat apa-apa selain memberi ceramah politik.

Seorang lagi penduduk yang ditemui di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai, P. Anbuselian, 30, berkata BN lebih aktif membantu kaum India berbanding kerajaan pakatan pembangkang.

"Kaum India tidak ketinggalan mendapat peluang yang sama terutama dalam bidang pendidikan, banyak bantuan disalurkan untuk Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil untuk membina bangunan baharu dan ada yang telah siap dan beroperasi," katanya.

Katanya pada PRU-12, majoriti rakyat di kawasan itu memberi undi kepada pembangkang kerana terpengaruh dengan janji manis mereka tetapi kini ramai yang telah sedar bahawa mereka telah tertipu.

"Ini pembangkang semua tipu, sampai sekarang hanya BN sahaja yang tolong kami jika berlaku sebarang masalah, Ramasamy tidak peduli kami di sini. Kali ini banyak orang mahu bagi undi BN," kata beliau.

Pada PRU-13 kawasan Parlimen Batu Kawan dan tiga kawasan DUN yang berada di bawahnya iaitu Perai, Bukit Tengah dan Bukit Tambun akan ditandingi 13 calon, lima daripadanya adalah calon Bebas.

Kerusi Parlimen itu menyaksikan pertandingan empat penjuru dan kesemuanya adalah muka baharu iaitu calon BN, N. Gobalakrishnan, 48, daripada parti Gerakan, calon DAP P. Kasthuriraani, calon Parti Cinta Malaysia Huan Cheng Guan dan calon Bebas A. Mohan.

Pada PRU-12 2008, calon DAP P. Ramasamy mengalahkan calon BN Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dengan majoriti 9,485 undi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan