Tahap Kesihatan Penduduk, Pasukan ATM Terus Dipantau - Berita Semasa | mStar

Tahap Kesihatan Penduduk, Pasukan ATM Terus Dipantau

Diterbitkan: Isnin, 29 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LAHAD DATU: Keadaan kesihatan penduduk dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus dipantau setelah insiden pencerobohan pengganas, Februari lepas.

Pegawai Perhubungan Media, Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertahanan Malaysia Cawangan Sabah Lt Mohd Hafiz Mohamed Sabilan berkata program pemantauan kesihatan itu untuk penduduk dilakukan melalui Projek Jiwa Murni Kesihatan manakala Team Section Pusat Kesihatan Medan untuk anggota ATM.

"Selain mendekatkan penduduk dengan pasukan keselamatan, bantuan perubatan itu juga diberikan sebagai langkah memulihkan trauma akibat pencerobohan," katanya ketika ditemui pemberita di sini Isnin.

Antara penyakit yang dikesan semasa pemeriksaan kesihatan di kalangan penduduk adalah seperti demam, selesama dan batuk, katanya.

Beliau berkata Team Section Pusat Kesihatan Medan memberi khidmat kesihatan seperti semburan lalat dan taklimat kesihatan kebersihan peribadi untuk pegawai dan anggota di medan antaranya di kawasan Tanduo dan Lok Buanih.

Seorang penduduk Kampung Tanjung Labian, Sarina Ibrahim, 34, berkata keprihatinan kerajaan bukan sahaja dengan mengambil berat tentang kebajikan penduduk tetapi juga peka terhadap kepentingan kesihatan.

"Bila ada program seperti ini, mudah untuk kami dapatkan rawatan. Saya sendiri pernah mendapat rawatan kesihatan dan dibekalkan ubat-ubatan," katanya. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan