Rakyat Perlu Tolak Slogan 'Ubah Ini Kalilah' - Muhyiddin

Diterbitkan: Isnin, 29 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Negara yang kini aman, selamat, ekonomi kukuh serta rakyat bersatu-padu perlu dikekalkan dan sehubungan itu rakyat perlu menolak slogan "Ubah Ini Kalilah" yang dilaungkan pembangkang, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata tiada jaminan pakatan pembangkang mampu melaksanakan slogan itu sedangkan janji dalam manifesto mereka pada pilihan raya lepas tidak mampu ditunaikan.

Timbalan Perdana Menteri berkata struktur negara yang dibangunkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah cukup molek kerana fokus kepada kebajikan semua kaum dan mencakupi segala hal termasuk dalam bidang agama.

"Saya bertanya...apakah pembangkang boleh menjamin sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kita nikmati pada hari ini. Negara kini berada dalam keadaan aman, selamat, ekonomi yang baik, rakyat bersatu-padu," katanya ketika berucap pada Himpunan Rakyat 1Malaysia yang dianjurkan BN Melaka di Permatang Duyung di sini Isnin.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka yang juga pengerusi BN negeri Datuk Seri Mohd Ali Rustam, barisan pimpinan negeri serta 5,000 hadirin.

Muhyiddin meminta rakyat memberikan mandat baharu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), 5 Mei ini kepada BN dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi meneruskan kepimpinan yang terbukti berjaya memakmurkan dan mensejahterakan rakyat dan negara.

Beliau berkata walaupun rakyat di Malaysia mempunyai latar belakang berbeza tetapi berkat kesungguhan kepimpinan BN terdahulu sampai ke hari ini, mampu untuk mewujudkan persefahaman dan muafakat antara kaum dengan setiap kaum diwakili dalam kerajaan.

"Semua kaum diwakili, isu-isu yang menyentuh tentang hak dan kepentingan pelbagai kaum dilihat secara lebih dekat dan langkah-langkah diambil untuk membantu golongan-golongan yang lemah," katanya.

Muhyiddin berkata pembangkang mencanangkan sekiranya mereka menang PRU-13, kononnya akan duduk berbincang dan menyelesaikan perkara-perkara pokok sedangkan soal siapa bakal jadi perdana menteri di kalangan mereka juga tidak dapat mencapai kata sepakat. "Saya bimbang kalau waktu pilihan raya mereka mencadangkan hal-hal yang lain tanpa diperjelaskan satu persatu isu-isu pokok yang ada di kalangan mereka...akan buat satu keputusan yang boleh membawa angkara dan musibah pada negara Malaysia yang kita cintai ini," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN menasihati semua calon BN memanfaatkan tempoh berkempen menjelang hari pengundi Ahad ini untuk berjumpa seberapa ramai pengundi dan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

Beliau berkeyakinan BN Melaka akan mencapai kemenangan cemerlang majoriti dua pertiga kerusi sebagaimana yang dicapai pada pilihan raya umum sebelum ini. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan