Muhyiddin Harap PRU-13 Berlangsung Tanpa Ancaman, Gangguan

Diterbitkan: Isnin, 29 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap proses pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) berlangsung dalam keadaan baik tanpa sebarang ancaman daripada pihak tertentu.

"Tentunya rakyat yang mahu ke pusat mengundi tidak mahu diancam sesuatu perkara berkaitan dengan keselamatan undi (dan mengganggu) mereka untuk membuat keputusan di pusat mengundi nanti," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perjumpaan dan sarapan pagi 1Malaysia dengan hampir 1,000 warga Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang dekat sini Isnin.

Turut hadir Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Rodzali Daud.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai tarikh pengundian awal dan Ahad ini untuk pengundian biasa bagi memilih wakil rakyat di 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi dewan undangan negeri (DUN).

Seramai 13,268,002 orang layak mengundi pada PRU13 dengan 275,341 orang merupakan pengundi awal dan 12,992,661 pengundi biasa.

Muhyiddin berkata rakyat perlu bijak memilih kerana apa yang penting ialah negara dapat terus memperoleh masa depan yang lebih terjamin, stabil dan berjaya, sekali gus dapat memenuhi hasrat menjadi negara maju menjelang 2020.

Beliau berkata dalam tempoh beberapa tahun ini, kerajaan Barisan Nasional (BN) bekerja keras membina asas untuk membangunkan bangsa Malaysia yang berjaya menerusi pelbagai inisiatif dan proses transformasi. "Kita sudahpun dirikan landasan yang terbentang untuk kita gunakan menuju ke Wawasan 2020, landasan itu sudah tersedia dan di atasnya ada kereta api lokomotif yang dipandu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kelajuannya agak luar biasa.

"Kalau kita sudah berada di landasan dan lokomotif sudah bergerak dengan begitu laju, maka tentulah kita tidak mahu (ada) halangan dan rintangan sehingga ia tergelincir daripada landasan," tegasnya.

Sementara itu, anggota tentera udara yang berpeluang bersarapan pagi bersama Muhyiddin meluahkan rasa terima kasih dan terharu dengan kunjungan itu.

Pegawai Waran Rancang Operasi TUDM, Subang, Mohdan Amran, 38, berkata kesudian Muhyiddin meluangkan masa untuk bersama mereka anggota TUDM menunjukkan keprihatinannya terhadap warga tentera.

"Bukan senang nak bersarapan pagi dengan timbalan perdana menteri yang sudi turun padang. Datang pun dengan cara tak begitu protokol," katanya.

Pegawai Perhubungan Awam TUDM Mejar Kamarulzaman Ali, 41, berkata seluruh warga tentera udara di Subang begitu teruja untuk melihat sendiri wajah pemimpin itu dari dekat.

"Lebih menyentuh hati apabila beliau sanggup meluangkan masanya di saat jentera parti sibuk berkempen dan beliau perlu memenuhi tanggungjawab rasmi sebagai timbalan perdana menteri," katanya. -BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan