Momentum Jentera BN Semakin Meningkat - PM

Diterbitkan: Isnin, 29 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PONTIAN: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata momentum jentera kempen Barisan Nasional (BN) di seluruh negara dalam tempoh beberapa hari ini semakin meningkat berbanding pembangkang yang nampaknya saling bercanggah pendapat.

Perdana Menteri berkata keadaan itu dapat disaksikan apabila rakan-rakan sekutu dalam pembangkang saling bercanggah pendapat dalam soal pokok dan utama dan ia merupakan petanda pakatan pembangkang satu pakatan yang terlalu rapuh dan tidak berdaya maju.

Walaupun tidak menafikan BN menghadapi masalah, Najib berkata sebahagian besarnya telah dapat diselesaikan berbanding pakatan pembangkang yang menghadapi lebih banyak masalah dan keadaan itu lebih berkecamuk. "Kalau kita ada masalah, pembangkang lagi banyak masalah. Saya nak kata (BN) tidak ada masalah, itu tidak betul. Tetapi saya nak letakkan dalam perspektif pembangkang lagi banyak masalah. Setidak-tidaknya kita tiada komponen parti lawan sama komponen parti, dia ada," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan bersama rakyat di Dataran Pasar Lambak, Pekan Nenas di sini, Isnin.

Majlis itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan.

Turut hadir calon BN bagi kerusi Parlimen Tanjung Piai Datuk Wee Jack Seng, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup, Suhaimi Salleh dan calon DUN Pekan Nenas, Wong You Fong.

Najib berkata percanggahan pendapat antara mereka satu petanda pakatan mereka terlalu rapuh sebab apabila mereka cuba menutup perbalahan ideologi dengan memberi tumpuan hendak mengalahkan BN sahaja, keadaan ini berbahaya. "Mereka tidak beri satu gambaran bahawa mereka mempunyai satu pakatan yang berdaya maju dan boleh dipercayai sebab kalau kita nak kendalikan sebuah kerajaan, kita perlu kerjasama yang kukuh," katanya.

Sementara itu, Najib melahirkan keyakinan BN di Johor mampu memperoleh kemenangan besar yang lebih baik berbanding keputusan Pilihan Raya Umum ke-12.

Dalam pilihan umum 2008, BN memenangi 25 daripada 26 kerusi Parlimen dan memperoleh 50 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan di negeri ini.

Najib berkata beliau dan banyak pihak menyedari pembangkang mahu menjadikan Johor sebagai medan pertempuran sama seperti yang dilakukan mereka di Perak dan Pulau Pinang dalam pilihan raya umum 2008.

Namun beliau yakin dengan 'Cara Johor" dan kerja keras jentera BN, Johor mampu kekal menjadi kubu kuat kepada parti itu.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Johor supaya mempertahankan cara tersebut yang diamalkan sejak dahulu lagi iaitu penuh dengan kesederhanaan sesuai dengan lokasinya sebagai tempat kelahiran parti keramat itu.

"Kita mesti sentiasa menjadikan cara Johor yang sederhana dan berkumpulan. Di sini tempat lahir Umno, Umno mengambil berat kepentingan semua komuniti. Secara relatifnya, cara Johor ini dapat menghindari segala konflik yang serius," katanya.

Beliau berkata Menteri Besar Johor telah berjaya melaksanakan dasar yang sangat inklusif itu termasuk berkaitan pengendalian sekolah Cina serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata, hasil cara kepimpinan seperti itu berjaya membawa kepada keharmonian dan keamanan kepada rakyat tanpa mengira kaum di negeri ini. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan