Keadaan Calon PAS DUN Lenggeng Stabil

Diterbitkan: Isnin, 29 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Calon PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, di sini Zulkefly Mohamad Omar yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur akibat tekanan darah tinggi dan strok ringan, kini berada dalam keadaan stabil.

Wakil calon dan setiausaha kepada Zulkefly Mohamad, Mohd Prasad Hanif berkata keadaan calon itu kini beransur pulih selepas menerima rawatan sejak dua hari lalu di Hospital Kuala Lumpur.

"Zulkefly Mohamad sebelum ini yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) telah dipindahkan ke wad biasa dan doktor menasihatkannya berehat antara empat hingga lima hari sebelum dibenarkan keluar.

"Bagaimana ia bergantung kepada nasihat doktor dan pada masa ini hanya ahli keluarga terdekat sahaja yang dibenarkan melawat beliau," katanya pada sidang media di pejabat Badan Perhubungan PAS negeri, di sini Isnin.

Sabtu lalu, Zulkefly Mohamad, 49, dilaporkan rebah di rumahnya di Kampung Masjid, Lenggeng dan dihantar ke sebuah hospital swasta di sini sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Mohd Prasad berkata doktor memberitahu bahawa calon itu mengalami tekanan darah tinggi dan strok ringan ekoran tekanan dan kurang rehat, namun tidak ada apa-apa yang serius.

Pada sidang media yang sama, Pesuruhjaya PAS Negeri Mohamad Taufek Abdul Ghani berkata tugas berkempen di kawasan Lenggeng berjalan seperti biasa dan dilaksanakan oleh wakil dan jentera parti.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa calon itu akan menarik diri dan PAS negeri telah mengambil ketetapan untuk mengekalkan Zulkefly yang juga Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS pusat itu sebagai calon di DUN Lenggeng.

Pada pilihan raya umum ini Zulkefly menghadapi saingan tiga penjuru bersama calon Barisan Nasional Datuk Ishak Ismail dan seorang calon Bebas Zulkifli Abdullah untuk kerusi itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan