Semua Parti Diminta Amal Prinsip Demokrasi Matang, Jangan Provokasi - Mustapa

Diterbitkan: Ahad, 28 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed meminta semua parti politik supaya tidak melakukan provokasi, sebaliknya mengamalkan prinsip demokrasi yang matang ketika berkempen.

Beliau berkata, walaupun terdapat parti dan individu politik yang berbeza pendapat, mereka dinasihatkan supaya tidak beremosi sehingga terlalu fanatik melakukan sesuatu yang negatif.

"Kita harap apa yang berlaku di Pulau Pinang tidak akan berlaku di Kelantan. Kita hendaklah mengamalkan prinsip demokrasi matang dalam berpolitik.

"Kita semua bersaudara, kita boleh berbeza pendapat, bertikam lidah. (Tetapi) kalau kita keluarkan kata-kata kesat pun, dan tunjukkan emosi, taksub dan fanatik ini bukan budaya Islam dan Melayu," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Mustapa berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aktiviti anggota parti politik memasang poster dan sepanduk untuk berkempen.

Beliau turut merujuk pada insiden letupan yang berlaku di tempat ceramah BN di Nibong Tebal pada Selasa lalu.

Menurut Mustapa, beliau berharap agar semua parti politik, termasuk jentera parti BN bersabar dan berkempen dengan berhemah.

"Kita boleh pasang bendera tetapi kita (perlu) hormat pihak lain dan PAS juga menghormati kebebasan pihak UMNO untuk berkempen.

"Jika kita saling hormat-menghormati maka gejala yang tidak diingini tidak akan berlaku di negeri ini," katanya.

Mustapa berkata, beliau yakin pasukan keselamatan akan memberi nasihat dan taklimat dari semasa ke semasa untuk membolehkan kempen berjalan dengan lancar.

"Kita ada lapan hari lagi, hujung-hujung (tempoh kempen) ini ada pergeseran dan tekanan. Saya lihat kadang-kadang ada pihak yang menunjukkan sikap 'gedeber' (berani), motosikal dan kereta dipandu dengan laju. Ini menunjukkan kita membuat provokasi kepada pihak lain.

"Jadi, janganlah kita membuat provokasi, jika tidak pihak lain akan ada reaksi sekali gus mencetuskan keadaan yang tidak baik.

"Hujung-hujung ini (menjelang pilihan raya) amat penting untuk kita berkempen dalam keadaan yang berhemah. Kita nak kekalkan keamanan dalam negara ini dan kita yakin pihak polis mampu menangani perkara ini," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan