Pengundi Pos di Luar Negara Siap Sedia Mengundi Esok

Diterbitkan: Sabtu, 27 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengundi pos kali pertama di luar negara sudah bersiap sedia untuk melaksanakan tanggungjawab mereka pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) menerusi undi pos, esok.

Mereka termasuk 6,360 pengundi pos terbesar di luar negara yang kini tinggal di Australia.

Bagi juara tiga kali Kejohanan Trek Berbasikal Dunia dan pemegang pingat Komanwel, Azizulhasni Awang, 25, yang kini menuntut di Universiti Victoria, Melbourne, pastinya teruja dapat mengundi buat pertama kali dalam PRU-13.

Azizulhasni, yang sedang melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Pergerakan Manusia) merasakan kerajaan pilihan beliau akan menerajui Malaysia untuk tempoh lima tahun akan datang sekali gus memberi kesan terhadap usaha pembangunan atlet di negara ini.

"Saya amat gembira. Perasaan saya tidak dapat digambarkan sekarang. Setiap undi penting. Jadi saya perlu menjalankan tanggungjawab saya sebagai rakyat Malaysia untuk mengundi dalam pilihan raya yang akan menentukan kerajaan yang akan memberi manfaat kepada atlet," katanya kepada Bernama dalam temu bual menerusi e-mel.

Azizulhasni, yang telah kembali berlatih selepas berehat daripada Sukan Olimpik London melahirkan harapan agar semua orang dapat menghormati antara satu sama lain tanpa mengira perbezaan politik masing-masing.

"Saya harap semua orang, tidak kira parti mana anda sokong, dapat menghormati antara satu sama lain, kerana kita adalah rakyat Malaysia.

"Saya suka Malaysia. Saya berharap semangat kekitaan berterusan demi masa depan Malaysia yang lebih baik," katanya.

Di United Kingdom, pelajar tahun tiga bidang Perakaunan dan Kewangan di London School of Economics, Azeem Abu Bakar, yang juga pengundi pertama kali, berkata beliau teruja kerana akhirnya dapat menyumbang ke arah landskap politik tanah air.

"Saya bersyukur kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memperluaskan usahanya untuk memberi hak demokrasi kepada kami melalui pelaksanaan undian pos. Tanpanya, saya perlu menunggu selama empat atau lima tahun lagi untuk mengundi semata-mata kerana saya tidak berada dalam negara," katanya kepada Bernama. "Jika saya mengundi, saya tahu bahawa saya telah melakukan apa yang saya dapat. Secara umumnya, pilihan raya akan memberi kesan kepada saya melalui sistem sosioekonomi yang akan digunakan pihak yang menang untuk mentadbir negara," katanya.

Mengulas mengenai langkah Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang yang membariskan ramai calon muda, beliau berkata ia sesuatu perubahan dan mereka perlu diperkenalkan kepada masyarakat.

Beliau berkata kedua-dua pihak telah mencipta profil calon masing-masing menerusi laman web misalnya, 1malaysia.com.my, untuk calon BN dan demirakyat.com untuk calon PKR.

Sementara itu, seorang pelajar tahun akhir Universiti Manchester, Norshah Aizat Shuaib, 24, yang juga pengundi kali pertama turut melahirkan harapan agar pengundian berjalan secara aman dan lancar. "Apa sahaja keputusan rakyat, mudah-mudahan Malaysia akan terus bergerak ke hadapan dan tidak hanya bercakap tentang politik tanpa sebarang kemajuan. Politik penting, tetapi kemajuan sesebuah negara bukan bergantung hanya pada aspek itu," katanya.

Beliau juga berharap rakyat Malaysia akan bersatu tanpa mengira pemerintah demi memastikan kedaulatan dan keamanan Malaysia sentiasa dilindungi.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebelum ini dilaporkan berkata sejumlah besar pengundi pos menetap di Australia, diikuti United Kingdom dan China. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan