Pembangkang Cipta Isu Cuba Racuni Fikiran Peneroka Felda - Isa Samad

Diterbitkan: Sabtu, 27 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JEMPOL: Demi meraih undi dan mencapai kemenangan pada pilihan raya umum ke-13 ini, pembangkang dilihat sanggup melakukan apa sahaja termasuk cuba mencipta pelbagai isu bagi meracuni pemikiran masyarakat Felda.

Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata pembangkang juga dilihat sengaja membangkitkan isu lama yang telahpun diselesaikan bagi mengelirukan masyarakat itu selain menyebar fitnah mengenai tanah peneroka diambil Felda.

"Sebenarnya, banyak isu lama yang cuba dimainkan pembangkang untuk mengelirukan masyarakat Felda pada pilihan raya ini. Felda juga tidak pernah sesekali mengambil tanah peneroka dan ia kekal hak milik mereka. "Jadi, ini tidak menjadi isu besar dan ia hanyalah sebahagian muslihat pembangkang untuk meraih undi," katanya pemberita dalam siri kempennya di Felda Bukit Rokan dekat sini, Sabtu.

Justeru beliau meminta masyarakat Felda sentiasa berhati-hati dengan kenyataan pembangkang yang mengelirukan dan boleh menimbulkan perasaan tidak senang hati.

Mengulas mengenai khabar angin yang menyatakan bahawa seorang bekas pengarah Felda akan menyertai parti pembangkang, Mohd Isa yang juga calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Jempol berkata ia tidak akan menjadi masalah buat Felda.

Katanya sebagai bekas kakitangan, mereka bebas melakukan apa sahaja dan ia sebenarnya bukanlah isu besar.

Katanya perkara itu hanyalah strategi pembangkang yang cuba menarik bekas kakitangan Felda menyertai parti mereka kerana mahu mempengaruhi sokongan masyarakat Felda.

"Saya yakin parti pembangkang sukar hendak pengaruhi masyarakat Felda kerana itu mereka cuba menarik bekas kakitangan Felda, bagaimana pun saya lihat ini tidak akan berhasil," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan