Kamilia Saingan Sengit PAS Di Kuala Kangsar

Diterbitkan: Sabtu, 27 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: PAS melihat akan berlaku persaingan yang sengit antara calon parti itu Khalil Idham Lim dengan calon Bebas Datuk Kamilia Ibrahim di Kuala Kangsar.

Koordinator Jawatankuasa Isu dan Strategik PAS negeri, Dr Raja Ahmad Iskandar berkata demikian setelah melihat pengaruh bekas naib ketua Pergerakan Wanita Umno itu dan kempen beliau yang disifatkan mempunyai cara tersendiri.

"Kami di Kuala Kangsar menyatakan persaingan sengit pada kali ini di antara calon PAS dan calon Bebas Datuk Kamilia.

"Beliau dengan cara berkempen yang begitu teratur dan teliti berjaya menawan emosi terutamanya wanita-wanita untuk bersama beliau," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS negeri, dekat sini, Sabtu.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kuala Kangsar berkata program-program kempen Kamilia di sekitar Kuala Kangsar sering menjadi perhatian ramai dan mendapat sambutan hangat.

Malah, tindakan Kamilia mengeluarkan kenyataan maaf secara terbuka melalui video di internet juga dilihat sebagai satu tindakan profesional dan berprinsip.

"Datuk Kamilia dilihat sebagai pemimpin arus baru kuasa ketiga bagi senario politik di Malaysia," katanya.

Melihat perkembangan ini beliau mendakwa Barisan Nasional (BN) sudah membuat percaturan yang silap yang akan memberi kesan kepada keputusan pilihan raya kali ini.

Beliau turut mendakwa jentera BN di Kuala Kangsar telah lumpuh sehingga memaksa pimpinan tertinggi parti dan pertubuhan bukan kerajaan turun padang bagi memulihkan semangat anggota parti.

"Bukan sahaja terhadap Datuk Kamilia tetapi juga calon-calon Bebas yang merupakan ahli Umno akan memberikan impak yang tinggi kepada keputusan pilihan raya di sini," ujarnya.

Kamilia yang pernah memegang jawatan kedua tertinggi dalam sayap Wanita Umno mengambil keputusan bertanding Bebas setelah tidak dicalonkan bertanding atas tiket BN di Parlimen Kuala Kangsar.

Pada Selasa, Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil telah bertemu jentera Jalinan Rakyat di Kuala Kangsar dan berpuas hati dengan persiapan dan semangat yang ditunjukkan setiap anggota.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan