BN Punya Harapan Cerah Menang di Kawasan Campuran di Sarawak - PM

Diterbitkan: Sabtu, 27 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengendalikan jengkaut pada majlis pecah tanah SJK (C) Chung Hua No. 2 di Kuching pada Sabtu. Turut sama Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Yong Khoon Seng merangkap calon Barisan Nasional (BN) Parlimen P196 Stampin (kiri). -Foto BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengendalikan jengkaut pada majlis pecah tanah SJK (C) Chung Hua No. 2 di Kuching pada Sabtu. Turut sama Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Yong Khoon Seng merangkap calon Barisan Nasional (BN) Parlimen P196 Stampin (kiri). -Foto BERNAMA

KUCHING: Datuk Seri Najib Tun Razak percaya Barisan Nasional (BN) mempunyai harapan yang baik untuk mencapai kemenangan di kawasan campuran, termasuk kawasan parlimen Stampin di Sarawak pada pilihan raya umum ke-13 (PRU) ini. Perdana Menteri berkata beliau berpuas hati setelah menghadiri dua majlis berasingan, termasuk sesi pemimpin bersama rakyat di Kampung Semeba dan perasmian SJK (C) Chung Hua No. 2 di Jalan Stutong di sini, yang terletak di Stampin.

Pada kedua-dua majlis itu, ketibaan Najib disambut seramai 10,000 rakyat jelata. "Bagi kawasan yang mempunyai peratusan pengundi Cina yang tinggi, saya nampak ada tanda kebaikan sedikit untuk menerima dan menyokong balik BN namun kita (jentera) perlu terus bekerja untuk menambahkan 'engagement' dengan mereka," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian dan pecah tanah blok baru SJK (C) Chung Hua No. 2 di sini Sabtu.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Yong Khoon Seng, yang juga penyandang BN di kawasan Stampin dan calon BN Tan Kai bagi kerusi Bandar Kuching.

Pada pilihan raya 5 Mei ini, Yong akan menentang Julian Tan Kok Ping daripada DAP dan Soo Lina daripada Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR) dalam pertandingan tiga penjuru.

Mengenai peluang pembangkang untuk merebut kerusi parlimen di Sarawak dan Sabah, Najib berkata beliau tidak nampak ada tanda mereka boleh menang, terutama sekali di kawasan luar bandar, yang masih menjadi kubu kuat BN.

Beliau percaya pengundi luar bandar menyedari dan memahami bahawa masa depan mereka adalah dengan BN untuk meneruskan agenda transformasi yang mereka telah nikmati.

"Kita (BN) ada track record membangunkan kawasan luar bandar yang mereka tahu tanpa BN, apa yang mereka harapkan tidak akan menjadi kenyataan," katanya.

Beliau turut tidak menjangkakan Parti Pekerja Sarawak (SWP), yang bertanding menentang BN di enam kawasan Parti Rakyat Sarawak (PRS) terdiri daripada 90 peratus pengundi Iban, akan menang.

Beliau berkata BN tidak memperakukan SWP, yang mendakwa mesra BN kerana dengan bertanding menentang calon BN, parti pembangkang menjejaskan peluang kemenangan BN.

Pada amnya, Najib berpuas hati dengan operasi kempen BN walaupun pada peringkat awalnya berdepan masalah dalaman, terutamanya dari segi penyusunan jentera dan perasaan tidak puas hati berhubung pemilihan calon.

"Nampaknya sebahagian besar daripada masalah itu telah kita dapat selesaikan dan jentera kita memberi tumpuan bagi memastikan kerja pilihan raya dapat dijalankan dengan penuh fokus," katanya. Perdana menteri berkata masalah dalaman yang dihadapi parti pembangkang lebih berat daripada yang dihadapi BN.

"Setidak-tidaknya kita tidak ada parti komponen lawan sama parti komponen tapi mereka tidak dapat menyelesaikan perkara ini pada waktu penamaan calon walaupun ada usaha untuk menarik diri dan sebagainya tetapi masalah bertembungan antara satu sama lain dan rasa tidak puas hati mereka lebih serius daripada BN," katanya. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan