Abdul Ghapur Bidas Pembangkang Kerana Gemar Serang Peribadi Ketika Kempen

Diterbitkan: Sabtu, 27 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAWAU: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh membidas pembangkang kerana menurutnya lebih suka menyerang peribadi calon-calon BN, menabur fitnah serta memain isu perkauman. Abdul Ghapur yang juga Pengerusi BN Kalabakan berharap para pengundi di bahagian berkenaan tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang itu, apa lagi maklumat-maklumat palsu dan tidak sahih untuk mengaburi mata masyarakat.

Katanya,sepanjang menceburi dunia politik beliau tidak pernah memilih suku atau kaum tertentu dalam melaksanakan perkhidmatannya, apatah lagi menyerang peribadi calon seperti dilakukan calon-calon pembangkang terhadap dirinya dan calon BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik, Tanjong Batu dan Merotai.

"Janganlah kita menafikan nikmat pembangunan yang kita kecapi ini. Malahan, kita sepatutnya bersyukur dengan semua ini dan teruslah memberi sokongan penuh kepada BN agar ia dapat terus memerintah dan membawa lebih banyak kemajuan," katanya. Abdul Ghapur berkata demikian semasa berkempen di Kg. Mentadak Baru, Pulau Sebatik, di hadapan kira-kira 400 penduduk setempat.

Majlis berkenaan turut dihadiri calon BN bagi DUN Sebatik, Abdul Muis Picho, dan Ketua Kampung Kg. Mentadak Baru, Abdullah Tahir.

Sementara itu, Abdul Muis pula menasihat masyarakat agar tidak menggadai masa depan mereka dengan mempercayai janji-janji pembangkang yang masih belum terbukti.

Menurut Abdul Muis menerusi sokongan padu masyarakat, negara pasti terus bertambah maju dan lebih banyak kemudahan bakal dinikmati rakyat, hasil keprihatinan kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan