400 Ahli PKR Gua Musang Nekad Bantu BN Tewaskan Calon Parti Di Kelantan

Diterbitkan: Sabtu, 27 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Seramai 400 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Gua Musang pada Sabtu mengambil keputusan untuk membantu Barisan Nasional (BN) serta memastikan calon parti itu tewas di Kelantan ekoran ketidakpuashatian mereka berhubung pemilihan calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Bekas Ketua Pemuda PKR Cabang Gua Musang yang mewakili kumpulan itu, Mohd Fauzi Mohd Nor berkata, calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Paloh dan Nenggiri merupakan di kalangan mereka yang tidak dikenali dan tidak mahir mengenai kawasan yang ingin ditandingi.

Beliau mendakwa, calon-calon yang dipilih itu adalah mereka yang tidak bertanggungjawab dan hanya akan membebankan anggota dan jentera parti.

"Kami menolak calon PKR kali ini sebagai tanda protes dan isyarat yang jelas kepada pimpinan parti negeri yang tidak bertanggungjawab.

"Kami akan memberi undi dan bekerja untuk kepentingan calon Barisan Nasional," katanya pada sidang media di sini, Sabtu.

Mohd Fauzi mendakwa, kehadiran calon DUN Nenggiri, Azihan Che Seman dan calon DUN Paloh, Amrah Ab Ghani adalah bertujuan untuk kepentingan diri sendiri dan bukannya berjuang demi rakyat.

"Azihan adalah calon dari luar manakala Amran dari Paloh tetapi tidak pernah memberi khidmat kepada parti.

"Ada anggota yang dipilih oleh akar umbi tidak dicalonkan. Orang yang tidak berkelayakan itu yang dipilih. Itu (adalah) kroni," katanya.

Ditanya mengenai sama ada kesemua 400 anggota PKR itu akan menyertai BN, Mohd Fauzi berkata, kemungkinan besar beliau beramai-ramai akan mengisytiharkan untuk keluar dari parti dan bekerja bagi memastikan kemenangan calon BN di seluruh Kelantan.

"Dan saya akan bekerja untuk memastikan kekalahan PKR di Kelantan," katanya.

Azihan akan bertembung satu lawan satu dengan penyandang kerusi DUN Nenggiri, Mat Yusoff Abdul Ghani dari BN manakala Amran akan bertanding untuk merampas kerusi daripada penyandangnya, Datuk Nozula Mat Diah (BN) pada PRU-13.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan