Warga Kastam Harus Bangun Dari Pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Mereka

Diterbitkan: Jumaat, 26 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

DI AWAL pagi Jumaat, penghulu segala hari, seluruh rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan berita pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) Datuk Shaharuddin Ibrahim, ketika beliau dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya.

Tiga das tembakan telah dilepaskan ke arah beliau ketika kereta rasmi yang dinaikinya berhenti di persimpangan lampu isyarat berhampiran pejabatnya.

Ia berlaku di tengah kesibukan dan perhatian seluruh negara tertumpu kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Kejadian ini bukan sahaja amat menyedihkan malah menimbulkan kemarahan seluruh rakyat Malaysia.

Yang lebih menjadikan kita marah dan resah ialah, bentuk pembunuhan seperti ini semakin menjadi-jadi sejak beberapa bulan ini di seluruh negara - seolah-olah, pembunuh upahan di negara kita semakin mudah diupah, semakin bebas menembak dan membunuh sasaran mereka di simpang-simpang jalan, di perhentian lampu insyarat, di restoran dan di kedai kopi, di tempat umum dan khalayak ramai.

Hanya kurang lebih dua jam selepas insiden pembunuhan Datuk Shaharuddin di Putrajaya, satu kejadian pembunuhan dengan modus operandi yang hampir sama berlaku di Taman Billion. Cheras pula.

Dan sehari sebelum itu, pembunuhan yang serupa iaitu oleh dua penembak upahan yang menunggang motosikal berlaku di Seremban.

Jelaslah, para pembunuh ini menjadi semakin berani dan kejam. Mereka seperti menguasai bandar, pekan dan kampung kita. Kita rasa macam negara kita kini dikuasai oleh gerakan mafia atau jenayah terancang.

Ya, kita memang resah dan gelisah membaca semua berita ini.

Apatah lagi, kali terakhir kita mendengar kisah seorang pegawai tinggi beruniform menjadi mangsa pembunuhan ialah pada era subversif pergerakan komunis dahulu.

Malah yang sering menjadi mangsa sasaran ialah pegawai-pegawai tinggi polis. Kita tidak pernah dengar seorang pegawai tinggi kastam berpangkat timbalan ketua pengarah menjadi sasaran pembunuhan sindiket atau penjenayah.

Siapa pun mereka yang bertanggungjawab di sebalik kejadian ini, yang pasti dan jelas ialah, mereka sudah berani menentang dan mensasarkan pegawai-pegawai tinggi kerajaan yang dilihat menjadi penghalang kepada aktiviti haram mereka.

Dalam kes Datuk Shaharuddin, ia adalah amat jelas sekali, Allahyarham menjadi sasaran sindiket tertentu yang berasa tergugat dengan modus operandi Kastam - bukan sahaja dalam membanteras aktiviti haram tetapi juga menyiasat orang tertentu yang cuba melarikan diri daripada cukai dan bahan haram.

Jabatan Kastam dan Eksais Diraja adalah sebuah jabatan yang penting. Penting dalam ertikata ia menjaga maruah negara dan mengutip cukai untuk kemakmuran negara. Setiap tahun, Jabatan itu mensasarkan kutipan cukai dan eksais import sehingga RM33 bilion dan ia tidak pernah tersasar dari sasaran itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khazali Ahmad berkata peningkatan pungutan bukan sahaja ketara dalam duti eksais (barangan import) malah termasuk dalam pungutan hasil cukai jualan (import).

Malah katanya, Bahagian Penguatkuasaan turut menunjukkan prestasi yang baik apabila nilai rampasan barang larangan mencecah RM390.241 juta tahun lepas. Beliau juga berkata sebanyak 77 kes penyeludupan dadah dicatat sejak Januari sehingga September tahun lepas dengan jumlah nilai rampasan sebanyak RM136.251 juta.

Dalam tempoh yang sama, sebanyak 1,850 kes penyeludupan rokok berjaya dibanteras dengan nilai RM26.955 juta yang melibatkan cukai RM166.568 juta.

Bagi minuman keras, sebanyak 637 kes dengan nilai RM8.03 juta dan cukai melibatkan RM19.292 juta berjaya dirampas.

Semua angka dan fakta ini menunjukkan kejayaan Jabatan Kastam dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka bermakna semakin terhimpit dan tersepit apa jua aktiviti haram yang dijalankan sama ada oleh individu mahupun sindiket ini.

Semakin cekap pegawai-pegawai kastam bertindak semakin rosaklah aktiviti haram mereka.

Ini dengan sendirinya mendedahkan pegawai-pegawai kastam kita kepada pelbagai bentuk ancaman dan rintangan.

Dan ancaman ini sebenarnya tidak terhad kepada kakitangan kastam sahaja tetapi juga lain-lain jabatan beruniform dan penguatkuasaan undang-undang.

Nyawa mereka sentiasa di dalam bahaya dan ancaman.

Jika para penjenayah ini boleh mencederakan malah membunuh seorang pegawai tinggi kerajaan, apatalah lagi pegawai-pegawai berpangkat lain.

Mereka hendak melemahkan jabatan ini. Mereka hendak Jabatan Kastam dengan segera menghentikan gerakan membanteras atau mengintip aktiviti mereka. Mereka hendak menakut-nakutkan keseluruhan anggota jabatan ini.

Tetapi ini tidak seharusnya melemahkan semangat semua anggota beruniform dan penguatkuasa kita. Sebaliknya mereka harus bangkit dan bangun dari kesedihan dan ancaman yang sedang melanda jabatan dan juga tugas mereka.

Kastam harus memperkukuhkan risikan mereka dan mencari penjenayah yang bertanggungjawab membunuh ketua mereka sehingga ke lubang cacing.

Petualang yang merancang pembunuhan Datuk Shah harus dibawa ke muka pengadilan.

NOTA:

BERIKUT DISENARAIKAN KES-KES KEJADIAN TEMBAK YANG BERLAKU DI TEMPAT AWAM DAN DI PERHENTIAN LAMPU ISYARAT SEJAK SETAHUN YANG LALU. PERHATIKAN BERAPA RAMAI YANG MENJADI MANGSA PENEMBAK UPAHAN YANG MENAIKI MOTOSIKAL:

(1). 26 April 2013: Timbalan KP Kastam Mati Ditembak Di Persimpangan Lampu Isyarat

PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) Datuk Saharuddin Ibrahim maut selepas ditembak dari jarak dekat oleh penyerang tidak dikenali ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di sini.

Shaharuddin, 58, yang tinggal di Dengkil, Selangor, disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada pukul 9.20 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata dua lelaki bermotosikal melepaskan tiga das tembakan ketika kenderaan yang dinaiki Shaharuddin berhenti di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan pada pukul 8.15 pagi.

"Tembakan itu mengenai bahagian leher ke atas dan Shaharuddin dikejarkan ke Hospital Putrajaya oleh pemandunya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kejadian.

(2). 26 April 2013: Lelaki Mati Ditembak Di Hadapan Lampu Isyarat Bulatan Tmn Billion

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mati ditembak di hadapan lampu isyarat di bulatan Taman Billion, Cheras di sini.

R. Karikaalan, 29, mati ketika dalam perjalanan ke hospital setelah terkena dua dari 10 das tembakan yang dilepaskan dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.

Kejadian pada pukul 11.30 pagi itu turut menyebabkan ibu Karikaalan yang berusia 60 tahun cedera di lengan kanan.

(3). 25 April 2013: Mati Ditembak Dalam Kereta

SEREMBAN: Seorang lelaki mati ditembak dua lelaki yang menunggang motosikal di Jalan Seremban-Tampin berhampiran Ibu Pejabat JPJ Negeri di sini.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa, N. Ragunathan, 39, yang sedang memandu kereta Proton Perdana maut di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, sebelum kejadian, mangsa yang dalam perjalanan ke Seremban berhenti di tepi jalan berhampiran Ibu Pejabat JPJ.

Kereta mangsa kemudian dihampiri dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal sebelum mereka melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa dari jarak dekat.

(4). 24 April 2013 : Pemandu Teksi Ditembak Mati Ketika Makan Malam Di Restoran

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi ditembak mati dua lelaki ketika sedang menikmati makan malam bersama isteri dan anak perempuannya di sebuah restoran di Batu 14, Kampung Baharu Puchong dekat sini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli berkata, mangsa Seva Arumugan, 36, didatangi dua lelaki bertopeng yang melepas beberapa das tembakan ke arah mangsa dalam kejadian 9.20 malam itu.

"Dua suspek tersebut berbadan gempal dan berusia lingkungan 30-an," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Proton Wira kelabu dengan nombor pendaftaran NBS 9119, yang dipercayai kenderaan curi.

(5). 15 April 2013: Lelaki Maut Ditembak Ketika Makan Bersama Keluarga Di Seremban

SEREMBAN: Seorang lelaki mati ditembak dari jarak dekat ketika sedang makan bersama keluarganya di sebuah restoran di Pusat Komersial Oakland, Seremban 2, di sini.

Tan Kok Soon, 56, mati di tempat kejadian selepas terkena tiga das tembakan di bahagian belakang badan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontijen Negeri Sembilan, Supt Zazali Hashim berkata, Tan ditembak oleh dua lelaki yang datang dari arah belakang ketika sedang makan malam bersama isteri dan dua anaknya pada 6.55 petang.

"Kejadian itu berlaku amat pantas sehingga beberapa pelanggan lain yang berada di restoran itu tergamam," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki terbabit kemudian melarikan diri dipercayai dengan sebuah motosikal.

(6). 12 April 2013: Ahli Perniagaan Maut Ditembak Di Persimpangan Lampu Isyarat

SEREMBAN: Seorang ahli perniagaan maut selepas ditembak dua lelaki di persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Ujong berhampiran Taman AST di sini petang Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 petang itu, mangsa James John, 45, yang memandu kereta Honda Accord dan dipercayai dalam perjalanan dari Taman Permai menuju Temiang sedang berhenti di persimpangan tersebut.

Menurut jurucakap polis, sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang dinaiki dua lelaki turut berhenti di sebelah kenderaan mangsa.

"Salah seorang suspek kemudiannya mengeluarkan sepucuk pistol jenis semi automatik lalu melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa dari jarak dekat sebelum melarikan diri. Mangsa yang tidak sempat menyelamatkan diri maut di tempat kejadian akibat terkena beberapa das tembakan di kepala dan badan," katanya.

(7). 4 April 2013: Lelaki Mati Ditembak Sembilan Das

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut selepas terkena sembilan daripada 15 das tembakan yang dilepaskan dua individu dalam satu kejadian di kawasan flat Taman Sri Serdang, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam tadi, Bernard Ooi Boh Beng, 39, ditembak enam das di bahagian dada dan tiga das lagi masing-masing di ketiak sebelah kanan, lengan kiri dan perut.

Ketua Polis daerah Serdang, ACP Abd Razak Elias berkata polis percaya motif kejadian kerana balas dendam berdasarkan jumlah tembakan yang dilepaskan.

Semasa kejadian, Bernard, seorang penganggur, sedang berjalan kaki dari sebuah restoran untuk pulang ke rumahnya di kawasan tersebut sebelum dihampiri sebuah kereta Proton Waja berwarna perak, yang dipercayai dinaiki lebih daripada dua individu yang kemudiannya melepaskan 15 das tembakan sebelum melarikan diri, katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

(8). 2 April 2013: Peniaga Maut Ditembak Tujuh Kali Di Lingkaran Pantai Jerjak

GEORGE TOWN: Seorang peniaga maut selepas terkena tujuh das tembakan yang dilepas lelaki tidak dikenali di Lingkaran Pantai Jerjak dekatsini pada 4.40 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata, ketika kejadian, mangsa, S.Arumugam, 48, dari Changkat Minden, Sungai Gelugor sedang memandu kereta jenis Hyundai Matrix dengan ditemani seorang rakan.

"Ketika sampai di persimpangan jalan, datang dua lelaki menaiki sebuah motosikal yang memakai topi keledar penuh dan seorang daripada mereka telah melepaskan tempakan dan terkena bahagian badan serta kepala mangsa.

"Rakan mangsa yang turut berada dalam kereta ketika tembakan dilepaskan berjaya melarikan diri, dan sepasukan anggota polis telah diarah untuk mengesan suspek dan rakan mangsa," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

(9). 30 Mac 2013: Pengusaha Salun Kecantikan Ditembak Di Serdang

KUALA LUMPUR: Seorang pengusaha salun kecantikan ditembak mati dari jarak dekat di luar kedainya di Jalan Pinggiran Putra 25, Seri Kembangan, Serdang, dekat sini. Ketua Polis Serdang, ACP Abdul Razak Elias berkata Edisson S. Pillai, 37, ditembak oleh seorang lelaki bertopeng, kira-kira jam 6 petang.

"Mangsa ditembak dua das di dahi dan tiga das di tubuhnya, mati di tempat kejadian," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata kes disiasat mengikut seksyen 302 kerana membunuh dan motif kejadian tersebut masih dalam siasatan. "Polis akan siasat kes dari sudut perniagaan dan latar belakang keluarga," katanya.

(10). 1 Mac 2013: Lelaki Mati Ditembak Enam Das Dari Jarak Dekat

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mati selepas ditembak enam das dari jarak dekat oleh empat lelaki bermotosikal di persimpangan lampu isyarat berhadapan Tesco Rawang berdekatan Taman Setia, Rawang dekat sini.

Dalam kejadian itu, mangsa Leong Kim Yan, 54, mati di tempat kejadian selepas tembakan mengenai dada, bawah telinga dan bahu kanan.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah berkata kejadian kira-kira 3.45 petang itu berlaku selepas empat lelaki yang menaiki dua buah motosikal jenis Yamaha LC warna merah menghampiri kereta mangsa sebelum salah seorang daripada pembonceng melepaskan tembakan.

"Kereta mangsa kemudiannya terbabas ke pembahagi jalan dekat lampu isyarat di hadapan Tesco Rawang. Kesemua suspek yang memakai jaket dan helmet hitam itu kemudiannya melarikan diri ke arah Selayang.

"Mayat mangsa mengalami kecederaan kesan tembakan dua di bahagian dada, tiga di bahu kanan dan satu das di telinga kanan,” katanya.

(11). 8 Februari 2013: Pengutip Hutang Mati Ditembak

SUBANG JAYA: Seorang pengutip hutang mati ditembak di dalam kereta yang dipandu oleh isterinya dekat Taman Puchong Utama dekat sini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner (ACP) Yahaya Ramli berkata dua lelaki menggunakan sebuah motosikal berhenti di tepi kereta tersebut di persimpangan lampu isyarat dekat sebuah pasar raya di Jalan PU7 kira-kira pukul 2 petang.

Beliau berkata, mereka mendekati kereta tersebut dari arah kiri, tempat di mana Lee Sam Ong duduk dan melepaskan beberapa das tembakan sebelum melarikan diri.

"Beberapa das tembakan terkena cermin bahagian hadapan kereta jenis Honda Accord itu," kata Yahya.

Terdahulu, Lee, 41, isteri dan adik bongsunya baru sahaja selesai makan tengah hari di USJ4 dan menuju ke rumah abang sulungnya ketika kejadian.

Selepas insiden itu, isteri Lee membawanya ke Hospital Columbia di Bandar Puteri Puchong.

Dia disahkan meninggal dunia sebaik saja tiba di hospital terbabit.

(12). 4 Februari 2013: Suspek Kes Rompakan Mati Ditembak Selepas Hadir Ke Mahkamah

MELAKA: Seorang lelaki berusia 38 tahun yang hadir ke mahkamah kerana didakwa terlibat dalam kes rompakan, mati ditembak di dalam keretanya beberapa minit kemudian.

Dalam insiden pada pukul 10.30 pagi itu, S. Saravanan dari Pulau Pinang yang memandu kereta Honda Accord didekati dua lelaki menggunakan sebuah motosikal apabila berhenti di persimpangan trafik kawasan perindustrian Ayer Keroh di sini.

Salah seorang daripadanya melepaskan beberapa tembakan ke arahnya melalui tepi tingkap dan cermin hadapan, memukulnya di leher dan dada serta membunuhnya di tempat kejadian.

Menurut siasatan awal polis, lelaki itu baru saja meninggalkan kompleks Mahkamah Ayer Keroh yang terletak kira-kira dua kilometer di mana di hadir sebagai tertuduh bagi prosiding dalam kes rompakan.

(13). 5 Januari 2013: Lelaki Mati Ditembak Di Kota Damansara

PETALING JAYA: Seorang lelaki mati ditembak ketika dia pulang ke rumah sepupunya di sebuah pangsapuri di Seksyen 8, Kota Damansara di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata mangsa yangberumur 44 tahun dan berasal dari Kedah maut di tempat kejadian selepas ditembakdari jarak dekat oleh suspek yang menaiki sebuah kereta.

"Menurut orang awam yang menyaksikan kejadian itu, mangsa yang sedangmenunggang motosikal ditembak di dada dan tangan kanannya pada kira-kira pukul 9malam dan maut ditempat kejadian.

"Mangsa datang dua tiga hari lepas untuk mencari kerja dan menumpang di rumah sepupunya di sini " katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

(14). 22 Dis 2012: Pembekal Arak Ditemui Mati Ditembak

KLANG: Seorang pembekal arak berumur 34 tahun ditemui mati dalam keretanya dengan kesan tembakan di bahagian badan di hadapan sebuah pusat hiburan di Taman Desawan di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd Adnan Abdullah berkata, polis menerima maklumat dari orang awam kira-kira pukul 7.40 pagi ini berhubung penemuan mayat di bahagian tempat duduk pemandu dalam kereta Toyota Camry itu.

Beliau berkata, mangsa yang belum dikenal pasti namanya dipercayai keluar makan malam bersama sekumpulan rakannya di sebuah restoran di Taman Desawan sebelum ke pusat hiburan yang terletak bersebelahan restoran itu untuk sesi karaoke dengan kumpulan sama.

"Mangsa dipercayai ditembak ketika mahu pulang dari berhibur ke rumahnya yang terletak di Bayu Perdana di sini," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

(15). 3 November 2012: Isteri Peniaga Balak Mati Ditembak Di Luar Cafe

SIBU: Dalam satu kejadian yang dipercayai melibatkan pembunuh upahan, isteri seorang peniaga balak maut apabila seorang lelaki melepaskan tembakan ketika pasangan itu, bersama sepasang lagi suami isteri, duduk di sebuah meja di kaki lima sebuah cafe di Jalan Pahlawan di sini.

Law Leh Kuong, 44, yang ditembak di kepala pada jarak dekat, meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta kira-kira tiga jam selepas kejadian yang berlaku pada 12.10 tengah hari di luar 101 Cafe itu.

Selepas menembak mangsa, lelaki berkenaan, yang bersenjatakan senapang pam,melarikan diri dengan sebuah kereta Proton Wira merah yang turut dinaiki tiga rakannya.

Suami Law, Lau Ngik Yin alias Ah Kang, 42, yang juga pengusaha pusat hiburan, cedera di leher dan belakang, manakala sepupunya, yang duduk bersama isterinya, cedera ringan.

(16). 21 Okt 2012: Warga Emas Mati Ditembak Di Hadapan Rumah

KUALA LUMPUR: Seorang warga emas mati ditembak ketika berada dalam kereta di hadapan rumahnya dalam kejadian kira-kira 9.10 pagi Ahad di Jalan Desa Permai, Taman Desa dekat sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abd Bari Wan Abd Khalid berkata, ketika kejadian, mangsa Fong Yen Chong, 72, bersama isteri serta seorang pembantu rumahnya baru memasuki kereta jenis Perodua Myvi untuk ke pasar sebelum ditembak seorang lelaki bertopeng.

"Sebanyak lima das tembakan telah dilepaskan oleh suspek yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja berwarna kelabu. Salah satu daripada tembakan itu mengenai bahagian bawah telinga kanan mangsa manakala isterinya hanya mengalami cedera ringan akibat terkena serpihan kaca.

"Tembakan itu juga turut mengenai cermin hadapan, cermin sebelah kanan dan bahagian sisi sebelah kanan kereta mangsa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Akibat daripada tembakan itu, mangsa yang merupakan pesara syarikat insuransmati di tempat kejadian, katanya.

Wan Abd Bari berkata, suspek dipercayai telah menunggu mangsanya di luar rumah dan telah datang dari arah bertentangan sebelum melepaskan tembakan.

(17). 28 Ogos 2012: Peniaga Mati Ditembak Di Depan Kedai Di Marang

MARANG: Seorang peniaga yang leka bermain dam, mati ditembak dalam satu kejadian di Kampung Bukit Cempedak di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K.Manoharan berkata, kejadian berlaku pada 11.30 malam ketika mangsa, Mat Keya Jusoh, 54, bermain dam dengan seorang rakan yang berusia 51 tahun di depan rumah kedai miliknya.

"Ketika itu, datang sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki tiga lelaki yang mencari lelaki bernama 'Pok Mat' dan kemudian berpura-pura meminta untuk diberikan minuman.

"Bagaimanapun, salah seorang suspek telah melepaskan dua das tembakan dari dalam kereta yang jaraknya kira-kira lima meter sehingga mangsa rebah dan ketiga-tiga suspek terus melarikan diri," katanya kepada pemberita.

(18). 30 Julai 2012: Ahli Perniagaan Ditembak Mati Ketika Trafik Sedang Sibuk

MIRI: Seorang ahli perniagaan ditembak mati di simpang trafik yang sibuk berhampiran Mega Hotel di sini pada Isnin.

Mangsa, berusia lewat 40-an, berada dalam kenderaan pacuan empat roda apabila dia ditembak mati oleh penyerang yang berada di atas motosikal pada kira-kira pukul 6 petang.

Dia dipercayai sedang memandu di sepanjang Jalan Permaisuri menuju ke pusat bandar semasa kejadian.

Difahamkan mangsa, seorang lelaki Miri tempatan, telah terlibat dalam pelbagai perniagaan, termasuk hiburan dan kewangan.

Ketua Polis Miri ACP Mun Kock Keong mengesahkan tembakan tetapi enggan memberikan maklumat lanjut.

(19). 21 Julai 2012: Jurujual Mati Ditembak Di Segamat

SEGAMAT: Seorang pekerja sebuah syarikat jualan langsung mati ditembak seorang lelaki tidak dikenali ketida dia sedang menunggu isterinya pulang daripada bekerja di sebuah pusat hiburan di Bandar Utama di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi itu, mangsa Asnar Yunus, 28, dari Felda Palong Timor mati setelah terkena tiga das tembakan yang dilepaskan oleh seorang lelaki yang menaiki sebuah kereta bersama beberapa orang lagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Supt Md Anuar Ismail berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian rusuk, tengkuk, serta bawah telinga kiri menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian.

"Mangsa ketika itu sedang menunggu isterinya dalam sebuah kereta berhampiran dengan sebuah kedai serbaneka apabila datang sebuah kereta menghampiri kenderaan mangsa.

"Salah seorang penumpang dalam kereta itu telah melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa menyebabkan mangsa mati ditempat kejadian," katanya dalam sidang media di sini.

(20). 11 Mei 2012: Dua Lelaki Mati Ditembak Berhampiran Lampu Isyarat

SEREMBAN: Dua lelaki mati manakala dua lagi rakan mereka cedera selepas ditembak dari jarak dekat berhampiran lampu isyarat Jalan Datuk Bandar Tunggal di sini.

Mereka yang mati ialah Chalidass a/l Perumalsamy, 29, dari Jalan Rasah, Seremban dan Surentharan a/l Gopal, 31, dari Pasir Panjang, Port Dickson, manakala dua rakan mereka yang cedera berusia 29 dan 40 tahun.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Saiful Azly Kamaruddin berkata keempat-empat mereka itu ditembak ketika kenderaan pelbagai guna yang mereka naiki menghampiri lampu isyarat itu.

"Dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal menghampiri kenderaan itu dan melepaskan tembakan dari jarak dekat ke arah kenderaan itu.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki yang mati itu baru keluar dari pusat pemulihan akhlak di Machang, Kelantan," katanya pada sidang akhbar di sini.

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Kolumnis

iklan

Iklan