Transformasi Nasional Jauh Lebih Baik Daripada Reformasi - Najib

Diterbitkan: Jumaat, 26 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA KANGSAR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Dasar Transformasi Nasional yang diperkenal kerajaan Barisan Nasional (BN) jauh lebih baik daripada 'laungan reformasi' dan demonstrasi yang dibawa pembangkang.

Perdana Menteri berkata dalam tempoh empat tahun lepas, kerajaan BN membawa banyak perubahan kepada negara dan kesejahteraan untuk rakyat menerusi pelbagai bantuan dan inisiatif.

Beliau berkata antaranya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang telah menguntungkan rakyat, malah dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan telah meyakinkan mereka, pelabur asing dan negara lain.

"Rakyat sudah dapat lihat bahawa hari ini lebih baik daripada semalam. Hari esok, dan hari mendatang akan lebih bersinar daripada hari ini kerana transformasi (nasional) berjalan lebih baik dan berkesan.

"Sebab itu laungan reformasi (pada masa kini) orang sudah tidak hairan. Demonstrasi, reformasi dan baling kerusi serta laungan reformasi Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun orang tak sambut," katanya ketika berucap kepada lebih 5,000 orang semasa Perhimpunan Rakyat 1Malaysia kawasan Parlimen Kuala Kangsar di sini Jumaat.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata demonstrasi atau perhimpunan Bersih yang dianjurkan pembangkang sebelum ini, juga tidak mendapat sokongan daripada rakyat.

Ini kerana, katanya, rakyat kini sudah bertambah yakin dan 'senang hati' kepada kerajaan BN yang telah melaksanakan pelbagai janji dan mampu membela rakyat.

"Sebab itu saya guna satu perkataan sewaktu bentang manifesto BN (aku janji), kebolehpercayaan...bererti, antaranya bila kita janji, janji ditepati," katanya.

Perdana menteri berkata sokongan yang diberi rakyat kepada kerajaan BN bukan satu paksaan, sebaliknya kerana mereka percaya bahawa kerajaan sedia ada mampu membawa negara jauh lebih baik pada masa akan datang dan seterusnya mencapai status negara maju pada 2020.

"Sebab itu dalam aku janji BN, kita hendak kepercayaan rakyat berdasarkan merit. Bukan kita kata nak sokongan, mereka sokong. Saya kata, kalau kita layak berilah sokongan kepada BN," katanya.

Najib berkata dalam tempoh empat tahun lepas, kerajaan BN menunjukkan kebolehan dengan menunaikan segala janji dan pada kali ini, beliau sanggup membuat lagi janji-janji kerana akan berusaha untuk menunaikannya.

"Saya takut bila bentang manifesto sebab pembangkang kata manifesto bukan janji. Kalau bukan janji jangan bentang manifesto. Sebab itu saya nak naikkan nilai dokumen ini...bukan manifesto tetapi aku janji BN.

"Sebagai (orang) Islam, saya tahu...saya takut kepada rakyat dan saya lebih takut kepada Allah. Manifesto ini satu dokumen yang sungguh besar untuk membawa negara menjadi lebih maju," katanya.

Perdana menteri berkata berbeza dengan pembangkang yang hanya tahu menabur janji namun tidak mampu melaksanakannya, seperti mana yang berlaku di Selangor, antaranya sehingga kini gagal memberi elaun kepada ibu tunggal dan membina rumah mampu milik kepada rakyat.

Beliau turut mempersoal tindakan pembangkang yang membuat pelbagai janji dalam manifesto mereka pada pilihan raya kali ini seperti menurunkan harga minyak dan menghapuskan bayaran tol kerana perkara itu bukan mudah untuk dilaksanakan.

Perdana menteri berkata sebelum sesebuah kerajaan hendak mensejahterakan rakyat, mereka perlu memakmurkan negara dan perlu tahu mentadbir negara supaya ekonomi dapat berkembang.

"Kita nak bagi rakyat, bukan senang-senang kita nak bagi percuma. Kalau senang, kerajaan lain pun boleh lakukan. Mereka cakap manis macam madu tetapi dalam madu ada racun," katanya.

Najib turut mempersoal kepincangan dalam pembangkang yang mendakwa mereka sebuah 'pakatan' tetapi dalam banyak perkara, mereka tiada persefahaman dan berbalah, misalnya dalam soal pembahagian kerusi untuk bertanding pada pilihan raya kali ini.

Beliau berkata pakatan pembangkang tidak seperti BN yang merupakan 'pakatan sejati' kerana mereka pakatan yang terdiri daripada tiga parti yang didaftar, menggunakan simbol dan perlembagaan yang berlainan.

"Mereka hanya pakat nak jadi perdana menteri. Nak sangat Putrajaya. Dalam apa-apa (perkara) tidak boleh nak sangat-sangat...bahaya. Dalam kepala mereka obses nak jadi perdana menteri sampai boleh berlakon nak angkat sumpah jadi perdana menteri...fikir nak pergi Istana Negara.

"Ini soal jawatan penting untuk negara, bukan boleh berlakon dan syok sendiri. Ini amanah rakyat dan ketentuan Allah S.W.T. Kita boleh merancang tetapi perancangan Allah yang jadi realiti," katanya.

Najib berkata jika perkara-perkara sedemikian tidak wujud persefahaman, kemungkinan akan timbul ketegangan dan huru-hura sekiranya pakatan pembangkang diberi kuasa memerintah negara ini.

Justeru, beliau berkata rakyat tidak seharusnya mengadaikan masa depan negara yang sungguh bernilai untuk generasi akan datang selepas apa yang dikecapi lebih 55 tahun lepas.

"Sebab itu satu undi untuk BN, satu undi untuk masa depan lebih baik. Satu undi untuk pembangkang...berat padahnya.

"Kita (kerajaan BN) terus berkuasa (di negara ini) sebab rakyat sudah senang dengan Barisan Nasional. Saya percaya pada pilihan raya kali ini, BN akan kembali berkuasa di bumi Malaysia," katanya.- BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan