Produk Ayam Import Dari China Dibekukan - Berita Semasa | mStar

Produk Ayam Import Dari China Dibekukan

Diterbitkan: Jumaat, 26 April 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Malaysia telah membekukan kesemua produk ayam import dari China buat sementara waktu ekoran penyebaran virus selesema burung di negara tersebut sehingga mengorbankan 22 nyawa.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Abd Aziz Jamaluddin berkata pembekuan itu berkuatkuasa pada 22 April selepas satu kes wabak selesema burung terbaru itu dikesan di Shandong, lokasi di mana ayam-ayam tersebut diimport.

"Terdapat kira-kira 98 kontena yang sudah dalam perjalanan ke sini sebelum arahan pembekuan itu. Kami mengarahkan setiap kapal dikawal dan produk tersebut diuji," katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Malaysia mengimport antara 20,000 hingga 22,000 tan metrik ayam beku tanpa tulang setiap tahun dari dua kilang utama yang berpangkalan di Shandong, China.

Bagi tahun ini, Malaysia telah mengimport hampir 5,000 tan metrik ayam dari Shandong, Mac lalu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan virus tersebut sebagai pembawa maut.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan